Berita UtamaUtama

Pencemaran udara: SPRM kena siasat jika ada seleweng kuasa

Pihak berkuasa perlu ambil tindakan drastik halang perkara berulang

BANGI, 22 Syawal 1440H, Rabu – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya digesa untuk menyiasat insiden pencemaran di Pasir Gudang, Johor, sekiranya terdapat bukti penyelewengan kuasa dan rasuah. 

Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, tindakan itu perlu berikutan kes pencemaran berulang di kawasan yang sama pada Mac, walaupun permbersihan sisa toksik sudah dilaksanakan dan tindakan undang-undang juga telah diambil.

“Setelah 3 bulan berlaku peristiwa pencemaran alam berpunca dari Sungai Kim-Kim yang membawa kesan buruk kepada penduduk sekitar, kita dikejutkan sekali lagi dengan tragedi pelajar-pelajar dari beberapa buah sekolah di Pasir Gudang yang mengalami sesak nafas dan muntah-muntah.

“Walaupun terdapat kenyataan daripada kementerian bahawa kes kali ini adalah tidak sama dengan peristiwa 3 bulan lalu, amat menghairankan sekali simptomnya adalah sama dan sekolah-sekolah yang terkesan juga sebahagiannya adalah sekolah sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Azman Adnan memberitahu, sebanyak 475 institusi pendidikan diarah tutup sehingga 27 Jun nanti, membabitkan 111 buah sekolah rendah dan menengah kerajaan, tiga institusi pendidikan tinggi, 14 buah sekolah swasta dan antarabangsa serta 347 tadika swasta.

Mengulas perkara itu, Dr Badhrulhisham mahu pihak kerajaan mengambil sikap profesional dengan memberi penerangan yang jujur dan betul agar kekeliruan tidak berlaku, dan yang paling kritikal adalah kesihatan rakyat diutamakan.

“Situasi ini amat serius dan sebelum berlaku kemalangan jiwa di masa akan datang, adalah amat wajar pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), majlis perbandaran atau tempatan dan lain-lain mengambil tindakan drastik dan tegas dalam menghalang perkara ini dari berulang kembali,” katanya.

Sejak 20 Jun lalu, 14 pelajar dan dua dewasa dari Sekolah Agama Taman Mawar (SATM), manakala 13 lagi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang (4), mengalami sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai akibat pencemaran udara.

Kejadian itu menyusul hanya kira-kira tiga bulan selepas kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close