Berita UtamaUtama

Pencemaran udara: Kena siasat tanpa prejudis politik

Masyarakat perlu bertindak sebagai mata dan telinga pihak berkuasa

BANGI, 22 Syawal 1440H, Rabu – Pihak berkuasa didesak menjalankan siasatan menyeluruh tanpa prejudis politik mahupun kepentingan lain, serta mengutamakan kesejahteraan masyarakat berhubung pencemaran udara sehingga memberi kesan kepada pelajar di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan, Pengerusi Komuniti Penyelidik Sumber Asli dan Alam Sekitar (SALAM), Dr Kamil A Tohiran berkata, pesalah jenayah pencemaran alam sekitar sama ada individu mahupun perusahaan mesti didakwa dengan dikenakan tindakan berat mengikut skala kerosakan yang berlaku.

“Bagi mengiatkan aspek penguatkuasaan, warga industri dan juga masyarakat yang berada di sekitar kawasan industri perlu bertindak sebagai mata dan telinga pihak penguatkuasa jika terdapat aktiviti dan perubahan alam sekitar yang mencurigakan.

“Imbuhan kewangan dan perlindungan identiti kepada mereka yang melaporkan jenayah pencemaran hendaklah dipertimbangkan secara serius oleh kerajaan bagi mengatasi masalah kekurangan bilangan penguatkuasa kerana kesihatan dan nyawa rakyat adalah gadaian kepada masalah ini.

“Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu menunjukkan kesungguhan dengan mengkaji semula aspek perancangan bandar seperti keperluan mewujudkan zon penampan, termasuk infrastruktur sokongan yang diperlukan bagi memantau dan mengawal kes pencemaran berskala besar daripada terus berulang,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama, SALAM turut mencadangkan pihak kerajaan supaya menambah jumlah hukuman yang termaktub dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 kepada pesalah jenayah alam sekitar dan menambah langkah proaktif dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, 1994 agar pihak industri lebih bertanggungjawab.

“Jabatan Alam Sekitar perlu mengenal pasti petunjuk biologi (bioindicator) yang sesuai agar dapat memanfaatkannya bagi tujuan pemantauan kualiti alam sekitar termasuk pencemaran udara dalam jangka masa panjang.

“Selain itu, pengukuhan pengetahuan dan kesedaran alam sekitar dalam sistem pendidikan negara sama ada secara formal atau tidak formal bagi melahirkan warga yang bertanggungjawab dan sensitif terhadap isu alam sekitar adalah langkah kritikal,” katanya.

Pada 20 Jun lalu, 14 pelajar dan dua dewasa dari Sekolah Agama Taman Mawar (SATM), manakala 13 lagi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang (4), mengalami sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai akibat pencemaran udara.

Kejadian itu menyusul hanya kira-kira tiga bulan selepas kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk.

Susulan itu, semua institusi pendidikan di kawasan Pasir Gudang ditutup sehingga Khamis ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close