Berita UtamaUtama

Orang asing beli rumah memang untung tapi rakyat terpinggir

Mudahkan pinjaman, rendahkan sedikit harga rumah, saran Aminuddin

BANGI, 22 Syawal 1440H, Rabu – “Daripada ahli politik hinggalah usahawan, semua nak jalan mudah asalkan boleh untung. Tak kira pun kalau negara tergadai kepada orang luar.”

Demikian bidas Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya mengkritik saranan Datin Alicia Tiah kepada kerajaan supaya tidak terlalu tegas terhadap warga China yang mahu membeli hartanah tempatan di bawah Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Memetik laporan media tempatan, Pengarah Bukan-Bebas dan Bukan-Eksekutif TA Global Bhd itu mencadangkan kerajaan memandang ke arah memperuntukkan kuota untuk hartanah yang dibeli warga asing bagi setiap negeri.

Mengulas perkara itu, Haji Aminuddin berkata, kerajaan dan pemaju sepatutnya berbincang bagaimana untuk mengurangkan harga rumah dan meminta pihak bank memberikan kelonggaran.

“Ini tidak, nak suruh orang luar beli. Memanglah mudah jual sebab mereka semua banyak wang lagipun ringgit sedang lemah sekarang.

“Jadi memanglah ‘untung’ kalau orang luar dapat beli harta di negara ini. Warganegara sendiri nanti akan terus terpinggir di luar bandar terutamanya golongan Bumiputera,” kata Haji Aminuddin dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) berharap kerajaan dapat berfikir sejenak mengenai rakyat terhadap isu ini dan tidak mengambil jalan pintas.

“Ini bumi kita yang punyai, bukannya orang luar. Kepada pemaju-pemaju dan bank-bank, permudahkanlah pinjaman dan rendahkan sedikit harga rumah,” katanya.

Pada 6 Mac lalu, Kabinet memutuskan program MMH2 akan dikawal selia secara bersama antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) selain bersetuju supaya struktur tadbir urus program dikekalkan.

Sejak ditubuhkan pada 2002, program MM2H telah menerima permohonan daripada pelbagai negara termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Bangladesh, United Kingdom, Taiwan, India dan Pakistan.

Terdahulu Wong Hon Wa (PH-DAP Bukit Bendera) memohon Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mempercepatkan kelulusan permohonan program MM2H seperti ditetapkan prosedur operasi standard (SOP) bahawa kelulusan akan diberikan dalam tempoh 90 hari.

Sementara Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) menyarankan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya turut diberi kuasa, bukan sekadar diberikan kepada KDN kerana ia melambatkan proses kelulusan permohonan, sekali gus memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close