Berita UtamaDuniaIstimewaPalestinUtama

Malaysia gerbang Hamas ke Asia

Rejim Israel cemburu sokongan kuat rakyat Malaysia kepada Palestin

Oleh Dr Adnan Abu Amer

BANGI, 22 Syawal 1440H, Rabu – Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Malaysia menyaksikan kejayaan lawatan delegasi tertinggi Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), sekali gus menjelaskan peningkatan hubungan kedua-dua pihak, ketika jutaan rakyat Palestin berdepan kepungan teruk negara Arab dan rejim pengganas Israel.

Lawatan terakhir Hamas ke Malaysia hujung bulan lalu diketuai bekas pemimpin tertinggi, Khaled Meshaal. Program lawatan dipenuhi dengan perbincangan antara delegasi Hamas dan kerajaan Malaysia, serta parti politik, dalam suasana yang jarang dilihat ketika pergerakan itu melawat negara lain.

Pergerakan itu memulakan lawatan dengan melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selain Menteri Dalam Negeri yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; serta Menteri Pertahanan yang juga Presiden PAN, Mohamad Sabu.

Mereka juga bertemu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Wilayah, Khalid Samad; dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya.

Pada pertemuan dengan pemimpin Malaysia itu, Meshaal berbincang mengenai cabaran yang sedang dihadapi rakyat Palestin – antaranya pencerobohan rejim pengganas Israel terhadap Baitulmaqdis, peluasan penempatan haram di Tebing Barat, dan pengepungan berterusan di Semenanjung Gaza.

Delegasi Hamas turut berbincang dengan Malaysia mengenai ‘perjanjian abad ini’ yang dianggap bertujuan melemahkan perjuangan rakyat Palestin. Keputusan daripada lawatan ke Malaysia menjadi kebanggaan, dengan antara yang paling penting ialah kesediaan Putrajaya menawarkan biasiswa kepada 140 pelajar Palestin untuk belajar di 13 universiti membabitkan kos lebih RM12 juta.

Menolak kependudukan rejim Israel ke atas wilayah Palestin, Kuala Lumpur dengan tegas tidak mengiktiraf negara Israel sehingga perjanjian perdamaian dicapai bagi membentuk negara Palestin, Malaysia kekal dengan pendirian kebebasan bagi rakyat Palestin.

Masjid Imam Shafie yang dibina semula di Gaza menerusi bantuan kewangan rakyat Malaysia dan Indonesia kepada Aman Palestin.

Hubungan sejarah

Sebelum lawatan Meshaal, pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh menghubungi Dr Mahathir pada Januari lalu untuk menekankan kepentingan hubungan dua hala antara Malaysia dan Palestin secara umum, dan Hamas khususnya.

Haniyeh menghargai sokongan Malaysia kepada Semenanjung Gaza, dan menghormati ucapan Dr Mahathir pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), yang meletakkan Israel sebagai pihak bertanggungjawab mencetuskan masalah di Timur Tengah.

Beliau juga memuji komitmen Dr Mahathir yang menyokong perjuangan rakyat Palestin, serta penolakan Malaysia mengadakan hubungan rasmi dengan rejim Israel.

Sebelum itu, pada Julai 2017, delegasi Hamas turut melakukan siri pertemuan dengan pegawai kerajaan Malaysia dan pemimpin parti. Delegasi diketuai wakil Hamas di Lubnan, Osama Hamdan, bertemu Zahid Hamidi, dan beberapa pihak lain, termasuk Hadi Awang, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Delegasi Hamas turut menghadiri majlis penutup perhimpunan perpaduan dianjurkan PAS di Kota Bharu, di mana Osama Hamdan turut menyampaikan ucapannya.

Pada Disember 2016, pemimpin Hamas turut hadir dalam perhimpunan agung UMNO. Mereka bertemu dan berbincang dengan pegawai kerajaan dan wakil NGO. Pegawai Malaysia diberi taklimat mengenai perkembangan dan pembangunan semasa di Palestin, cara membantu rakyat Palestin, dan meningkatkan hubungan dua hala antara pergerakan itu dan parti pilitik.

Pada Disember 2015, Meshaal tiba di Kuala Lumpur mengetuai delegasi kepemimpinan Hamas pada perasmian perhimpunan agung UMNO. Program delegasi termasuk lawatan rasmi dan ucapan oleh Meshaal.

Lawatan pertama Hamas ke Malaysia adalah pada Disember 2013, di mana delegasi pergerakan itu diketuai Meshaal mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak; menteri luar; dan menteri dalam negeri.

Delegasi itu turut mengambil bahagian dalam forum antarabangsa anjuran UMNO, serta berucap di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dengan dihadiri sejumlah besar ahli akademi dan komuniti Islam serta Arab.

Malaysia penyokong kuat Palestin

Muslim Imran, warga Palestin yang tinggal lebih 15 tahun di Malaysia – Pengerusi Palestinian Cultural Organisation (PCOM) – adalah individu utama di sebalik hubungan rapat Kuala Lumpur dan rakyat Palestin.

Sokongan kepada Palestin sudah lama, dengan ribuan rakyat Malaysia mengadakan demonstrasi besar-besaran di seluruh negara mengutuk tindakan dan kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin.

Ketika pencerobohan Israel ke atas Gaza pada 2014, penduduk sebuah kampung di Malaysia menamakan jambatan mereka ‘Gaza’; bendera Palestin telah dikibarkan di kampung itu sejak 2008. Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Khairy Jamaluddin mengubah program lawatan rasmi ke United Kingdom ketika serangan 2014, sebaliknya mengambil bahagian dalam perarakan di London mengutuk pencerobohan itu.

Pada Januari 2013, tidak lama selepas rejim Zionis menceroboh wilayah terkepung itu, Najib melawat Gaza dan menyatakan kesedihannya terhadap pembunuhan komander sayap tentera Hamas, Ahmed Jabari, serta meletakkan batu asas di sebuah bangunan yang dibom rejim pengganas Israel.

Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan penutupan akaunnya di bank HSBC, dan berkongsi gambar beliau mengerat kad banknya – dalam langkah mengecam tindakan bank itu menutup akaun dimiliki penyokong Palestin.

Delegasi Malaysia juga berterusan mengambil bahagian dalam konvoi memecah pengepungan rejim Zionis ke atas Semenanjung Gaza, selain memberi bantuan dan sumbangan untuk membina semula hospital dan masjid.

Pembelaan dan kempen rakyat Malaysia untuk Palestin membabitkan demonstrasi, pengucapan awam, persidangan dan kutipan derma.

Pada 2014, Dr Mahathir yang ketika itu berada di luar kerajaan, melancarkan tribunal Kuala Lumpur untuk membicarakan jenayah rejim Israel ke atas penduduk Palestin dan Lubnan.

Pada 2012, dianggarkan terdapat antara 3,000 hingga 5,000 pelajar Palestin di Malaysia. Kebanyakan rakyat Palestin pula lebih suka menjadikan Malaysia sebagai tempat perlindungan sementara.

Melihat ke hadapan

Hubungan antara Hamas dan Malaysia semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan dengan cara yang tidak dapat disangkal, menyaksikan Kuala Lumpur sentiasa menjadi tuan rumah kepada delegasi pergerakan itu, sekali gus mencerminkan pengiktirafan jelas terhadap peranan Hamas sebagai kumpulan penentang yang sah.

Hamas menyifatkan hubungan rasmi dengan Kuala Lumpur adalah peluang untuk menggalakkan peranan dimainkan Malaysia pada peringkat serantau, dunia Islam dan antarabangsa, dalam menyokong perjuangan Palestin, menghapuskan pengepungan ke atas Gaza dan menamatkan pencerobohan rejim Israel ke atas Baitulmaqdis serta Tebing Barat.

Rakyat Malaysia konsisten menyokong perjuangan Palestin dalam membebaskan wilayah mereka daripada penjajahan rejim pengganas Israel. – Gambar NST

Apa yang dinyatakan di atas menunjukkan bahawa terdapat kaitan rapat Malaysia dengan isu Palestin secara umum dan Hamas khususnya.

Ini mendorong Mahmoud Al-Habbash – hakim Palestin yang rapat dengan Presiden Mahmoud Abbas – ketika lawatan akhir Mei lalu meminta Malaysia menggunakan pengaruh dalam pergerakan itu untuk menyokong perdamaian antara Pihak Berkuasa Palestin (PA) dengan Hamas, dan beberapa kumpulan pejuang lain di Gaza.

Di satu pihak lain, rejim pengganas Israel tidak gembira dengan peningkatan hubungan Malaysia dan Hamas. Rasa tidak puas hati itu ditunjukkan dengan pembunuhan jurutera Palestin, Fadi Al-Batsh, salah seorang pemimpin sayap tentera hamas, di Kuala Lumpur pada April 2018.

Rejim pengganas Israel menggunakan pembunuhan itu untuk mewujudkan suasana cemas dan bimbang di kalangan kader Hamas di Malaysia.

Zionis kerap merujuk kepada apa yang dipanggilnya ‘paksi Malaysia-Turki-Hamas’ di mana rejim Israel mendakwa pelajar Palestin daripada pergerakan itu dihantar belajar dan menerima latihan di Malaysia dan Turki, sebelum kembali ke wilayah Palestin untuk membangun infrastruktur tentera yang dapat digerakkan bila diperlukan.

Kerajaan Malaysia menafikan tuduhan rejim Israel, dan mengesahkan bantuan kepada Palestin adalah terhad kepada politik serta keperluan kemanusiaan, selain pemberian zakat dan wang.

Akhirnya, boleh dirumuskan bahawa siri lawatan pemimpin Hamas ke Malaysia, dan sokongan Kuala Lumpur dalam bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza, jelas menunjukkan keinginan kedua-dua pihak untuk mengukuhkan hubungan dua hala mereka.

Hubungan antara Hamas dan Malaysia membangkitkan bantahan dan ketidakpuasan Israel yang mahu terus mengepung Hamas dan Semenanjung Gaza.

Ini amat relevan memandangkan kedudukan Malaysia yang konsisten di kalangan negara berpengaruh di rantau Teluk dan Asia Tenggara, sekali gus mewujudkan peningkatan sokongan yang turut membabitkan Qatar dan Turki. Negara-negara ini berkongsi hubungan kuat dan rapat dengan Hamas.

Dan untuk lebih lima dekad Malaysia kekal rapat dengan Palestin serta penduduknya, sama ada di belakang tabir atau berdiri dengan tegas di pentas dunia. Rakyat Malaysia terus merasai penderitaan saudara seagama di Palestin, bersekutu dengan mereka, memberi bantuan, dan berjuang membebaskan bumi Baitulmaqdis.

VIDEO | Masjid sedekah rakyat Malaysia, Indonesia di Gaza siap

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close