Berita UtamaUtama

KEMAS KINI: VIDEO | Agong turun tepi jalan bantu mangsa nahas

Kakitangan EAIC cedera dalam perjalanan ke pejabat di Persint 2

PUTRAJAYA, 22 Syawal 1440H, Rabu – Perilaku Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, jelas menyerlahkan sifat cukup terpuji, apabila baginda yang sedang dalam perjalanan ke Putrajaya sempat turun daripada kenderaannya semata-mata untuk membantu seorang mangsa kemalangan.

Gambar-gambar Seri Paduka memberi bantuan kepada mangsa kemalangan yang memandu kenderaan Perodua Alza merah itu tular di media sosial.

Menurut catatan hantaran Instagram Istana Negara, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkesempatan turun daripada kenderaan rasmi baginda untuk memberi bantuan kepada seorang mangsa kemalangan di kawasan Putrajaya.

Al-Sultan Abdullah meluangkan sedikit masa untuk menenangkan mangsa, yang tidak mengalami kecederaan serius, namun dilihat berada dalam keadaan trauma.

“Alhamdulillah pemandu kenderaan itu Puan Jasliza Jamil tidak mengalami kecederaan yang serius,” menurut catatan hantaran itu.

Katanya, Seri Paduka kemudiannya meneruskan perjalanan ke mesyuarat pra-Kabinet bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Istana Melawati, Putrajaya.

Kebiasaannya sebelum mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet yang diadakan pada hari Rabu, Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP, Rosly Hasan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan itu yang berlaku di kawasan Susur Persiaran Barat Lebuh Sentosa.

Beliau berkata, kemalangan itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.20 pagi dan kenderaan Alza yang dipandu Jasliza, 38, yang sedang dalam perjalanan dari Gombak ke pejabatnya di Presint 2, dikatakan terbabas sendiri ketika tiba di tempat kejadian.

“Ketika itu keadaan cuaca hujan renyai dan secara tiba-tiba kereta itu hilang kawalan, terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelum menaiki pembahagi jalan sebelah kanan,” kata Rosly.

Menurut Rosly selepas kemalangan, konvoi Seri Paduka yang kebetulan melalui lokasi kemalangan, berhenti untuk melihat keadaan Jasliza.

“Yang di-Pertuan Agong amat prihatin dan turut membantu mangsa kemalangan. Seterusnya Yang di-Pertuan Agong meneruskan perjalanan ke Istana Melawati,” kata Rosly.

Sementara itu, Jasliza berkata, beliau pada mulanya ingatkan polis yang datang, tetapi rupa-rupanya Yang di-Pertuan Agong.

Pegawai Penerangan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) itu berkata, kira-kira 10 minit selepas terbabit dengan kemalangan, beliau ternampak kenderaan polis menghampiri kawasan kemalangan, namun tidak menyangka ia adalah kenderaan yang mengiringi Yang di-Pertuan Agong.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turun daripada kenderaan rasmi untuk membantu mangsa kemalangan di Putrajaya, pagi tadi.

“Masa itu saya masih trauma dan masih duduk di dalam kereta. Kawan-kawan sepejabat juga sudah sampai ketika itu.

“Saya ingat polis datang, tetapi bila saya nampak ada payung kuning dengan beberapa lelaki memakai songkok hitam dengan lilitan putih, barulah saya tahu siapa yang datang,” katanya.

Jasliza berkata, Seri Paduka meluangkan masa kira-kira lima minit bertanyakan keadaannya dan menawarkan diri untuk membawa beliau ke hospital jika mengalami kecederaan.

Ketika dihubungi kira-kira jam 1 tengah hari, Jasliza berkata, beliau baharu sahaja selesai membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di klinik.

“Alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Pegawai istana ada juga menghubungi saya untuk bertanya jika ada lagi bantuan yang diperlukan. Kiranya tidak habis di tempat kejadian, pihak istana ada lagi follow up (susulan) selepas itu,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close