Berita UtamaUtama

Kantoi cuba seludup keluar RM6.356 juta ke luar negara

Dua ditangkap di Kompleks Sultan Abu Bakar Gelang Patah

JOHOR BAHRU, 22 Syawal 1440H, Rabu – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor mematahkan cubaan menyeludup keluar tiga jenis mata wang berjumlah RM6.356 juta di Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, dekat sini, minggu lalu.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Mohammad Hamidan Maryani, berkata, berdasarkan maklumat risikan, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Honda Accord dinaiki dua lelaki tempatan berusia 25 dan 26 tahun.

“Hasil pemeriksaan rapi dijalankan terhadap kenderaan itu, anggota penguat kuasa menjumpai empat kotak berisi mata wang Ringgit Malaysia, Dolar Singapura dan Dolar Amerika Syarikat di dalam but kereta berkenaan.

“Pemandu berkenaan diarahkan untuk membuka kotak itu dan pasukan telah menjumpai mata wang RM6.075 juta, SGD10,000 (RM30,505) dan USD60,000 (RM 250,890). Jumlah keseluruhan nilai mata wang ini adalah sebanyak RM6,356,395,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohammad Hamidan berkata, dua lelaki terbabit ditahan reman selama tujuh hari bermula 19 Jun lalu, manakala kenderaan dan barang kes disita.

Kes disiasat mengikut Seksyen 28B (1) bersama Seksyen 86A(1)(b), Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, katanya.

“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum RM3 juta atau dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close