Berita UtamaDr Ahmad Sanusi AzmiPendapat

Didik anak hormat guru

Bukan saja tak hormat, ada pelajar gelar guru panggilan tak baik

1. SEMALAM, kita digemparkan dengan kejadian seorang guru merotan anak muridnya. Perkara ini berlaku setelah pelajar tersebut memanggil guru tersebut sebagai pondan. Sebagai ibu bapa, didiklah anak supaya menghormati guru.

2. Ceritakan pada mereka bagaimana para sahabat duduk seperti patung ketika proses pembelajaran berlaku. Perkara ini dinukilkan oleh Saidina Abu Said al-Khudri yang menyebutkan:

كنا جلوساً في المسجد إذ خرج علينا رسول الله -صلى الله عليه وسلم- فكأن على رؤوسنا الطير لا يتكلم أحد منا

“Ketika kami duduk di masjid, Rasulullah ﷺ telah datang dan duduk di sisi kami, kami semua duduk diam di hadapan Baginda ﷺ tidak bergerak sedikit pun seakan-akan ada burung di atas kepada kami, tiada seorang pun yang bercakap.”

Lihatlah akhlak para sahabat ketika berada di dalam majlis ilmu. Mereka diam memberi tumpuan sehingga digambarkan seolah-olah burung boleh hinggap dan duduk di atas kepala mereka kerana diamnya mereka seperti patung.

3. Ceritakan juga kepada anak kita tentang adab bercakap sopan dengan guru. Urwah ibn Mas’ud menceritakan bagaimana para sahabat Nabi begitu menjaga pertuturan bersama di hadapan Rasulullah ﷺ. Kata beliau:

وإذا تكلم خفضوا أصواتهم عنده، وما يُحِدُّون إليه النظر تعظيمًا له

“Para sahabat akan bercakap dengan suara yang rendah (sopan) ketika bertutur dengan Baginda ﷺ, serta tidak menajamkan pandangan mereka (merenung dengan tajam) kerana menghormati Rasulullah ﷺ”.

Pertuturan dan mimik muka adalah antara perkara yang amat dijaga oleh para sahabat. Mereka tidak meninggikan suara di sisi guru mereka dan mereka tidak menarik muka apabila berhadapan dengan guru.

4. Malah menurut Saidina Anas, para sahabat akan berhati-hati ketika datang untuk bertemu dengan Rasulullah ﷺ sehingga Anas menggambarkan bahawa:

كانت أبواب النبي صلى الله عليه وسلم تـُقـْرعُ بالأظافير

“Sesungguhnya pintu rumah Rasulullah ﷺ itu diketuk dengan kuku-kuku. Pernyataan ini menggambarkan bahawa mereka mengetuk pintu Rasulullah dengan perlahan sekali.”

5. Malah al-Imam al-Shafie dikatakan sangat menjaga adabnya dengan al-Imam Malik. al-Shafie dikatakan menyelak buku dengan sangat perlahan kerana bimbang menggangu al-Imam Malik. Kata al-Shafie:

كُنْتُ أَصْفَحُ الْوَرَقَةَ بَيْنَ يَدَيْ مَالِكٍ رحمه الله صَفْحًا رَفِيقًا هَيْبَةً لَهُ؛ لِئَلَّا يَسْمَعَ وَقْعَهَا

“Aku akan menyelak bukuku secara sangat perlahan supaya perlakuanku ini tidak didengari oleh al-Imam Malik (kerana kagum dan hormat dengan guru ini).

6. Hari ini pelajar bukan sahaja tidak menghormati guru, malah memanggil guru mereka pula dengan panggilan yang tidak baik. Mendidik di zaman ini amat lain sekali. Didiklah anak-anak kita dengan adab kerana nilai seorang murid itu pada adabnya.

Moga Allah membimbing kita semua.

Dr Ahmad Sanusi Azmi
Oxford Centre for Islamic Studies

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd.

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close