Berita UtamaUtama

Dakwaan pemidahan wang ke akaun Azmin Ali tidak wujud

Dokumen Maybank dipalsukan dan tiada akaun Deutsche Bank

KUALA LUMPUR, 22 Syawal 1440H, Rabu – Dakwaan pemindahan wang berjumlah AS$741,440 (kira-kira RM3.1 juta) daripada gergasi kejuruteraan UEM Group Berhad ke dalam akaun bank yang didakwa milik Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, tidak wujud.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki mengesahkan ketidakwujudan transaksi itu dan akaun di atas nama Mohamed Azmin, selepas siasatan dijalankan berikutan laporan polis oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, awal bulan ini.

“Kami dapati transaksi antara akaun-akaun dan akaun itu sendiri tidak wujud,” katanya di sini hari ini sebagai menjawab soalan media berhubung perkembangan kes itu di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini.

Terdahulu, beliau menghadiri prosiding kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menghadapi tujuh pertuduhan rasuah berjumlah SGD4.24 juta membabitkan Sistem Visa Luar Negara, di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Azam mendedahkan siasatan SPRM turut mendapati tiada akaun bank yang dikatakan sebagai akuan Deutsche Bank di atas nama Mohamed Azmin yang didakwa dibuka pada September 2012.

Beliau berkata, SPRM akan memanggil lebih ramai orang untuk direkodkan kenyataan berkaitan kes itu, bagaimanapun beliau enggan mendedahkan nama mereka.

Pada 11 Jun, Lokman Noor memfailkan laporan kepada SPRM dengan mendakwa UEM memindahkan AS$741,440 ke dalam akaun Malayan Banking Berhad atas nama Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Timbalan Presiden PKR, pada 19 Disember 2017.

Ketika menyangkal dakwaan itu, UEM menafikan pemilikan akaun bank yang didakwa itu dan pemindahan wang yang dikatakan itu ke dalam akaun Mohamed Azmin.

Maybank turut menafikan dakwaan sama dan berkata, dokumen membabitkan bank itu telah dipalsukan. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close