Berita UtamaUtama

4 produk dikesan ada racun berjadual boleh ancam nyawa

KKM minta pengguna henti beli produk tidak berdaftar, bernotifikasi

BANGI, 22 Syawal 1440H, Rabu – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai tidak membeli atau menggunakan empat jenis produk bukan keluaran berdaftar yang dikesan mengandungi racun berjadual jenis sibutramine, dexamethasone, chlorpheniramine dan frusemide yang boleh menjejaskan kesihatan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk berkenaan termasuk BB Body, Bello Smaze, Choco Fit dan Seahorse Chop Du Zhong Ba Ji Wan.

“KKM melalui Program Perkhidmatan Farmasi menerima maklumat daripada Health Science Authority (HSA) Singapura berkenaan empat produk yang dicampur palsu dengan racun berjadual serta menyebabkan kesan advers yang mengancam nyawa kepada pengguna produk itu.

“Agensi itu turut melaporkan terdapat premis yang menjual produk berkenaan di Johor Bahru. Berdasarkan maklumat premis penjualan yang dilaporkan oleh HSA, tiga operasi serbuan telah dijalankan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Johor pada 13 hingga 17 Jun 2019 di sekitar bandar raya negeri itu untuk mengesan produk berkenaan.

“Dalam operasi itu, 23 buah premis telah diperiksa. Namun, semua produk yang diadukan tidak dikesan dijual di premis berkenaan. Pemeriksaan berkala akan diteruskan bagi memastikan tiada penjualan produk tidak berdaftar atau bahan produk yang dicampur palsu dengan racun berjadual,” kata Noor Hisham.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna yang sedang menggunakan produk BB Body, Bello Smaze dan Choco Fit menghentikan penggunaan produk itu dengan serta merta dan mendapatkan rawatan segera.

Manakala, pengguna yang sedang menggunakan produk Seahorse Chop Du Zhong Ba Ji Wan yang mengandungi steroid poten pula disarankan agar segera berjumpa doktor.

“Ini berikutan, menghentikan steroid tanpa pengawasan perubatan yang betul boleh menyebabkan tanda-tanda pengunduran (withdrawal) yang serius seperti keletihan, kekeliruan dan tekanan darah rendah, terutamanya apabila produk telah diambil selama lebih daripada beberapa minggu,” katanya.

KKM turut memberi amaran kepada semua penjual serta pembekal produk berkenaan supaya menghentikan penjualan serta pembekalan dengan serta merta.

“Penjualan produk tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM 50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya,” kata Noor Hisham.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika membeli ubat-ubatan, produk kesihatan dan kosmetik untuk mengelakkan bahaya yang mungkin timbul apabila menggunakan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi.

Katanya, produk berdaftar mempunyai nombor pendaftaran MAL dan label Hologram Meditag pada bungkusannya dan semua pembekalan ubat-ubatan yang mengandungi racun berjadual (ubat terkawal) adalah tertakluk di bawah Akta Racun 1952 yang perlu dipatuhi oleh pengamal perubatan dan ahli farmasi.

“Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400. Selain itu, boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi menyemak status pendaftaran produk berkenaan.

“Sebarang aduan dan maklumat berkenaan produk dan kosmetik yang meragukan, laporan boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan melalui talian 03-7841 3200 bagi membantu kementerian membanteras penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi yang boleh memudaratkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close