Berita UtamaDuniaUtama

VIDEO | Lelaki muslim diseksa mati, dipaksa laung Jai Shri Ram

Tabrez Ansari pulang ke kampung sambut Aidilfitri dan berkahwin

Video mempunyai aksi ganas. Pembaca diminta membuat pertimbangan sendiri – Pengarang

INDIA, 21 Syawal 1440H, Selasa – Seorang lelaki muslim dipukul sekumpulan penyerang di Kharsawan di daerah Jharkhand dalam apa yang dikatakan sebagai jenayah kebencian kerana dituduh mencuri, sedangkan beliau sebenarnya pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.

Dalam kejadian 18 Jun lalu, Tabrez Ansari, 24 tahun, dibelasah tanpa belas kasihan selama kira-kira 18 jam sebelum diserahkan kepada polis, tetapi meninggal dunia empat hari kemudian akibat kecederaan dialami, lapor Times of India, semalam.

Beberapa klip video menunjukkan kejadian itu tular di media sosial. Salah satu klip video menunjukkan seorang lelaki memukul Tabrez dengan rotan, sementara mangsa pula merayu dilepaskan.

Satu lagi klip video menunjukkan beliau diikat pada tiang dan dipaksa melaungkan ‘Jai Shri Ram’, slogan yang digunakan penganut Hindu. Jai Shri Ram – ‘Hail Lord Rama’ atau ‘kemenangan kepada dewa Rama’ – dewa Hindu dan ikon ketujuh dewa Vishnu.

Dalam apa yang dikatakan sebagai jenayah kebencian, Tabrez juga disuruh melaungkan ‘Jai Hanuman’ yang mengagungkan dewa monyet penganut Hindu.

AFP melaporkan ketua polis daerah itu, Kartik S berkata, penduduk kampung memukul Tabres hampir 12 jam, sebelum diserahkan kepada polis dan dihantar ke hospital.

Kami telah menangkap beberapa suspek atas tuduhan membunuh, tetapi ramai lagi yang telah melarikan diri, katanya.

Times of India melaporkan, Tabrez bekerja sebagai pengimpal besi dan buruh di Pune, pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarganya di Kharsawan. Keluarganya juga menguruskan perkahwinannya ketika beliau pulang.

Pada malam 18 Jun, beliau meninggalkan kampung Jamshedpur bersama dua lelaki. Aktivis berpangkalan di Jharkhand, Aurungzeb Ansari mendakwa Tabrez tidak tahu ke mana dia dibawa.

Tatkala kedua-dua lelaki itu melarikan diri, Tabrez ditangkap dan dipukul. Tabrez bagaimanapun menafikan tuduhan mahu memasuki sebuah rumah, sebaliknya berkata, dua lelaki terbabit masuk ke rumah itu.

“Bagi pelaku, serangan sedemikian adalah perbuatan hero. Tabrez Ansari bukan sahaja diserang oleh orang ramai, tetapi wujud tingkah laku kebencian agama yang jelas apabila dia diarah melaungkan slogan Hindu,” kata Pengasas Karwan-e-Mohabbat – penganjur kempen solidariti terhadap mangsa keganasan agama – Harsh Mander.

Mengulas laporan bahawa polis mendaftarkan kes terhadap Tabrez selepas diserahkan kepada pihak berkuasa, Mander berkata:

“Itu adalah cara pihak polis… mereka cenderung untuk mendaftarkan kes terhadap mangsa [pertama], daripada tertuduh. Ia adalah sikap berat sebelah yang cenderung digunakan polis.”

Semalam, New Delhi menolak laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) bahawa keganasan dan sikap tidak bertoleransi terhadap minoriti di India di bawah kerajaan nasionalis Hindu – Bharatiya Janata Party (BJP), pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi – semakin meningkat.

Laporan kebebasan beragama AS menyatakan bahawa terdapat peningkatan serangan ganas puak Hindu – mendakwa untuk melindungi tuhan lembu – sejak Modi berkuasa pada 2014. Di sesetengah negeri di India, umat Islam dilarang menyembelih lembu.

Selepas serangan ke atas Tabres, Menteri Jharkhand, CP Singh berkata, kejadian itu tidak boleh dipolitikkan dan dikaitkan dengan BJP dan Rashtriya Swayamsevak Sangh – pertubuhan yang menggesa India diiktiraf sebagai negara Hindu.

Memetik laporan kumpulan media NDTV, CP Singh berkata, kerajaan akan menjalankan siasatan, dan kecenderungan untuk mempolitikkan kejadian itu adalah salah.

Awal bulan ini, Modi dalam ulasan yang jarang dilakukannya, mengutuk peningkatan serangan orang ramai sambil berkata:

“Membunuh orang ramai atas nama ‘gau bhakti’ (penyembahan lembu) tidak boleh diterima. Tidak ada sesiapa di negara ini mempunyai hak untuk meletakkan undang-undang di tangan sendiri.”

Al-Jazeera pula melaporkan puluhan umat Islam dibunuh kumpulan pelampau Hindu sejak lima tahun lalu atas tuduhan menyembelih atau memakan daging lembu. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close