Amerika SyarikatBerita UtamaDuniaTimur TengahUtama

Trump kenakan sekatan baru ke atas Iran, sasar pemimpin atas

Ayatollah Ali Khamenei, pembantu tak dapat akses wang, sokongan

AMERIKA SYARIKAT (AS), 21 Syawal 1440H, Selasa – Presiden Donald Trump, hari ini menandatangani arahan mengenakan sekatan kewangan ke atas pemimpin tertinggi Iran dan sekutunya, susulan tindakan agresif Tehran sejak kebelakangan ini, termasuk menembak jatuh dron tentera AS.

Sekatan baharu itu termasuk membabitkan pegawai kanan tentera Iran, yang disekat daripada mempunyai akses kepada sistem kewangan di bawah bidang kuasa AS.

Tindakan itu juga menghalang pemimpin Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan pembantu rapatnya daripada mengakses wang serta sokongan.

Ketegangan antara AS dan Iran meningkat sejak Mei lalu apabila Washington mengarahkan semua negara menghentikan pengimportan minyak Iran.

Trump berkata, pemimpin tertinggi Iran dan sekutunya pada akhirnya bertanggungjawab terhadap apa yang beliau katakan ‘tingkah laku bermusuhan rejim’.

“Sekatan dikenakan melalui perintah eksekutif… akan menafikan pemimpin tertinggi dan pejabat pemimpin tertinggi, dan sesiapa sahaja sekutu rapatnya dan pejabatnya, daripada akses kepada sumber kewangan,” kata Trump.

Mengulas sekatan itu, Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif berkata, ahli politik Team B yang dekat dengan Trump dahagakan peperangan, bukan diplomasi.

“@realDonaldTrump 100% benar bahawa tentera AS tidak ada urusan di Teluk Parsi. Keluarkan semua kekuatan tentera sesuai dengan kepentingan AS dan dunia. Tetapi adalah tidak jelas bahawa #B_Team tidak prihatin dengan kepentingan AS – mereka membenci diplomasi, dan dahagakan perang,” kata Zarif dalam Twitternya.

Zarif juga sebelum ini berkata, Team B, termasuk Penasihat Keselamatan Trump, John Bolton, dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mampu mengheret Trump berkonflik dengan Iran.

Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Majid Takht Ravanchi memberitahu media, tindakan terbaharu AS itu menunjukkan Washington tidak menghormati undang-undang antarabangsa, serta meminta dialog mengenai keselamatan di rantau Teluk diadakan.

Pada masa sama, Tehran berkata, serangan siber oleh AS ke atas rangkaian sistem ketenteraan Iran, beberapa hari lalu, gagal.

AS menyalahkan Iran berhubung serangan ke atas enam kapal tangki minyak di Teluk, dan mengutuk tindakan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) menembak jatuh dron tenteranya yang bernilai AS$130 juta.

Susulan itu, Trump mengarahkan tenteranya di Teluk untuk menyerang Iran, namun 10 minit kemudian menarik balik, kerana kemungkinan tindakan itu bakal membunuh banyak nyawa.

Semalam, Washington berkata, mereka sudah mewujudkan pakatan berama beberapa negara sekutunya di Teluk bagi melindungi laluan perkapalan di rantau itu.

Negara pakatan akan membekalkan keperluan serta sokongan kewangan bagi menjayakan program itu, kata pegawai kanan Washington tanpa menyatakan negara terbabit.

“Ia mengenai pencegahan proaktif, kerana Iran mahu pergi lebih jauh, buat apa yang mereka suka, dan kata… kami tidak lakukan. Kami tahu apa yang mereka lakukan,” katanya.

AS juga menuduh Iran menggalakkan sekutunya di Yaman – puak militan Houthi – untuk menyerang Arab Saudi.

Dalam kenyataan bersama semalam, AS, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain, menyatakan kebimbangan mengenai ketegangan dan bahaya yang ditimbulkan Iran terhadap ancaman keselamatan dan keamanan di Yaman dan rantau itu.

Terbaharu, peluru berpandu yang ditembak militan Syiah Houthi menyasarkan Lapangan Terbang Abha di Arab Saudi kelmarin, membunuh seorang warga Syria, dan mencederakan beberapa yang lain. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close