Asean/Asia-PasifikBerita UtamaDuniaUtama

Polis India tangkap 11 individu seksa, bunuh pemuda muslim

Video kejadian tular beberapa hari lalu menggemparkan India

INDIA, 21 Syawal 1440H, Selasa – Polis menangkap 11 individu yang disyaki terbabit dalam penyeksaan ke atas seorang pemuda muslim sehingga menyebabkan kematiannya dalam kejadian 18 Jun lalu, yang menggemparkan India, dan dianggap sebagai jenayah kebencian agama.

Dua pegawai polis yang mengendalikan kes pembunuhan Tabrez Ansari, turut digantung tugas. Video penyeksaan itu tular dalam media sosial India sejak beberapa hari lalu.

Dalam video itu, pemuda berusia 24 tahun berkenaan yang bekerja sebagai pengimpal serta buruh dilihat menangis dan merayu dibebaskan, ketika beberapa individu memukulnya, serta memaksa dia melaungkan ‘Jai Shri Ram’ dan ‘Jai Hanuman’ – slogan yang sering disebut kumpulan ekstremis Hindu.

Tabrez dituduh oleh penduduk kampung cuba melakukan rompakan. Dia diikat pada tiang dan dipukul sehingga 12 jam sebelum diserahkan kepada polis yang kemudian menghantarnya ke hospital, di mana dia meninggal dunia Sabtu lalu.

“Kami menangkap 11 orang. Dua pegawai polis juga digantung tugas kerana mereka gagal memaklumkan kes berkenaan kepada pegawai kanan, dan cuba menguruskannya pada peringkat mereka sahaja,” kata Ketua Polis Seraikela, Karthik S, kepada AFP.

Media melaporkan, isteri Tabrez menuduh polis membawa suaminya terlebih dahulu ke balai polis dan memasukkannya ke dalam lokap, sedangkan pemuda itu mengalami kecederaan teruk.

Berita kematian itu tersebar ke seluruh negara, tatkala kerajaan India menolak laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) yang mengatakan keganasan agama terhadap minoriti meningkat di bawah pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi.

Laporan kebebasan beragama AS menyatakan bahawa terdapat peningkatan serangan ganas puak Hindu – mendakwa untuk melindungi tuhan lembu – terhadap umat Islam dan kasta rendah, Dalit, sejak Modi berkuasa pada 2014. Di sesetengah negeri di India, umat Islam dilarang menyembelih lembu.

Menteri Hal Ehwal Minoriti, Mukhtar Abbas Naqvi mengutuk pembunuhan itu dan berkata, kerajaan tidak akan membenarkan ‘agenda kemusnahan’ merosakkan pembangunan India.

Parti Kongres pula menuduh Bharatiya Janata Party (BJP) pimpinan Modi gagal melindungi umat Islam dan penduduk minoriti lain. – Agensi

VIDEO | Lelaki muslim diseksa mati, dipaksa laung Jai Shri Ram

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close