Berita UtamaUtama

Pencemaran udara Pasir Gudang tak patut berulang: Dr Mahathir

Malaysia Airlines akan dijual tetapi identiti kebangsaannya dikekalkan

KUALA LUMPUR, 21 Syawal 1440H, Selasa – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan insiden pencemaran udara di Pasir Gudang tidak sepatutnya berlaku selepas terjadinya kejadian sama sebelum ini.

“Ini kurang cerdik… nampaknya ada industri-industri yang tidak begitu prihatin terhadap keselamatan menyebabkan insiden ini berlaku lagi,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian merujuk kepada Insiden Sungai Kim Kim di Pasir Gudang pada Mac lepas yang turut menyebabkan pencemaran udara dan simptom lebih kurang serupa pada orang ramai di situ.

“Sebab itu kita perlu kenal pasti siapa mencemarkan udara di situ dan ambil tindakan yang tegas terhadap mereka,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-33 di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kes pencemaran di Pasir Gudang kali ini yang menyebabkan ramai yang sesak nafas dan muntah sejak Khamis lepas.

Menurut laporan semalam, kerajaan negeri Johor mengarahkan kesemua sekolah yang terlibat, beberapa tadika serta sebuah institusi pengajian tinggi ditutup bermula hari ini hingga Khamis sebagai langkah berjaga-jaga.

Mengenai Malaysia Airlines, Dr Mahathir berkata, kerajaan ingin menjualnya, tetapi identitinya sebagai syarikat penerbangan kebangsaan akan dikekalkan.

Beliau berkata, kerajaan telah membuat banyak perubahan terhadap Malaysia Airlines, tetapi setiap kali ia masih gagal.

“Jadi, kali ini, kita perlu lebih berhati-hati dalam langkah-langkah yang akan diambil untuk memulihkan Malaysia Airlines.

“Ia bukan sekadar perubahan pengurusan, banyak perkara lain yang salah berkaitan syarikat penerbangan itu yang perlu diperbetulkan,” katanya mengulas gesaan dua veteran AS, termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif, untuk mengubah pengurusan syarikat penerbangan itu selepas kegagalannya bagi tahun kelima untuk mencapai kedudukan dalam 20 teratas dalam kaji selidik antarabangsa mengenai syarikat penerbangan.

Mereka berkata, Malaysia Airlines, yang turun dua tangga daripada tempat ke-36 dalam kaji selidik 100 Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia tahunan Skytrax, telah kehilangan kelasnya.

Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) juga menggesa pengurusan Malaysia Airlines untuk berundur susulan berita bahawa syarikat penerbangan nasional itu gagal mencapai tempat dalam kalangan 20 teratas dalam kaji selidik 100 Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia untuk tempoh lima tahun.

Malaysia Airlines tidak tersenarai dalam 20 tempat teratas sejak 2014 selepas menduduki tempat ke-18, turun dari tempat ke-24 pada 2015 kepada ke-34 pada 2016, menduduki tempat ke-31 pada 2017 dan sekali lagi tempat ke-34 pada tahun lepas. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close