Berita Utama

Usaha naik taraf taman awam diteruskan

Ia akan dijadikan sebahagian ‘karakter’ Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 18 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Kementerian Wilayah Persekutuan akan meneruskan usaha menaik taraf taman awam dan telah mengenal pasti beberapa tapak boleh dijadikan sebagai taman rekreasi atau kawasan lapang yang belum dimajukan setakat ini.

Menteri berkenaan Tan Sri Annuar Musa berkata langkah mewujudkan taman yang berkualiti tinggi, berfungsi dan dijaga dengan baik harus dijadikan sebahagian daripada ‘karakter’ Kuala Lumpur.

“Kuala Lumpur tidak hanya soal bangunan yang tinggi serta besar tetapi aspek taman dan kawasan lapang harus diletakkan sebagai keutamaan cukup tinggi.

“Kita berbangga kerana Kuala Lumpur mempunyai sejumlah kawasan hijau dan lapang yang bukan sahaja luas tetapi cukup berkualiti tinggi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Transformasi Taman Tasik Titiwangsa di bawah projek Sungai Nadi Kehidupan (ROL).

Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 2,068.30 hektar kawasan lapang di Kuala Lumpur diperuntuk sebagai kawasan hijau dan rekreasi bagi tujuan riadah untuk warga kota.

Katanya daripada jumlah keluasan itu, sebanyak 966.05 hektar tanah telah diwartakan manakala 1,033.99 hektar tanah lapang berpotensi dan akan diwartakan seperti yang dalam Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020.

Sebanyak 1,930 hektar kawasan lapang di Putrajaya telah diwartakan sebagai kawasan hijau dan rekreasi manakala di Labuan, sejumlah 29.86 hektar kawasan lapang turut diwartakan sebagai kawasan hijau dan rekreasi, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button