Berita UtamaUtama

4 warga asing dituduh bunuh

Mahkamah tetapkan 17 Julai depan untuk sebutan semula kes

TAWAU, 21 Syawal 1440H, Selasa – Empat remaja lelaki warga asing hari ini dihadapkan di Mahkamah Majistret Tawau di sini, terhadap pertuduhan membunuh seorang peniaga warung makanan, awal bulan ini.

Tertuduh tiga remaja warga Filipina berusia 13, 14, dan 19 tahun dan seorang remaja warga Indonesia berusia 14 tahun, dituduh membunuh warga tempatan, Jaafar Jalman, 49, di Taman Permainan, Jalan Persisiran di sini antara 1 dan 2 pagi pada 9 Jun lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Herlina Muse dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup.

Kesemua remaja berkenaan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 17 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Nur Intan Jamrin.

Pada 10 Jun lalu, media melaporkan seorang lelaki ditemui mati di dalam longkang di Jalan Bantu, Fajar di sini, dengan kesan tikaman di tengkuk serta di bahagian dada.

Susulan itu, polis menahan empat remaja lelaki dipercayai bukan warganegara bagi membantu siasatan kes bunuh berkenaan. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close