Berita UtamaDunia

Liga Arab janji bayar RM413 juta sebulan kepada Palestin

Palestin hadapi krisis kewangan kritikal selepas Israel sekat wang cukai

KAHERAH, 20 Syawal 1440H, Isnin – Liga Arab berjanji akan membayar AS$100 juta (RM413 juta) sebulan kepada pihak berkuasa Palestin (PA), sehari selepas Amerika Syarikat mendedahkan pelan damai Timur Tengah, yang dikenali sebagai ‘kesepakatan abad ini’ ketika persidangan ekonomi di Bahrain, esok.

Menteri-menteri kewangan mengadakan pertemuan di Kaherah, mengulangi janji yang dibuat pada April, untuk meningkatkan lagi bajet PA dengan pemindahan dana ketika negara itu berdepan krisis kewangan yang kritikal.

Liga Arab berikrar dana yang disalurkan akan membantu Palestin, selepas negara pengganas Israel menyekat pemindahan wang cukai bernilai AS$138 juta (RM562.6 juta), yang digunakan untuk membayar tahanan yang dipenjarakan di negara Yahudi itu.

Sekatan dilakukan juga kerana Israel menuduh pembayaran menggalakkan lagi keganasan yang dicetuskan oleh penduduk Palestin.

Sabtu lalu, negara pembuli, Amerika Syarikat mendakwa, rancangan perdamaian Timur Tengah yang akan dibentangkan di Bahrain bertujuan meningkatkan ekonomi di Tebing Barat dan Gaza.

Kononnya, persidangan ekonomi yang dianjurkan di Manama adalah langkah untuk meningkatkan sektor pelaburan di Palestin.

Palestin memboikot acara berkenaan serta menempelak Washington, sekali gus menolak inisiatif rancangan Timur Tengah Donald Trump, dengan menegaskan tidak akan menerima walau berapa banyak wang yang ditawarkan.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga menolak sebarang pelan damai yang tidak sesuai dan tidak memberi keuntungan kepada hak rakyat Palestin. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close