Berita UtamaUtama

Kerajaan Pusat diminta ambil alih kes di Pasir Gudang

Kilang kimia perlu diarah hentikan operasi buat sementara waktu

BANGI, 20 Syawal 1440H, Isnin – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa Kerajaan Pusat segera mengambil alih operasi pemantauan pencemaran udara di Pasir Gudang daripada Kerajaan Negeri Johor. 

Beliau turut meminta Kerajaan Pusat mengeluarkan perintah supaya semua kilang-kilang kimia yang mengeluarkan gas untuk menghentikan operasi buat sementara waktu sehingga keadaan pencemaran tidak berlaku lagi dan kualiti udara terjamin.

“Berikutan kejadian pencemaran udara sejak 20 Jun sehingga hari ini tidak dapat dikawal maka, selaku Ahli Parlimen Pasir Gudang saya menuntut kepada Kerajaan Persekutuan bersama-sama Kerajaan Negeri Johor mengambil tindakan segera.

“Sekolah-sekolah dalam kawasan tercemar juga perlu ditutup sehingga keadaan kembali selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Hassan turut menggesa semua pasukan pakar dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan agensi serta universiti lain membuat analisis dan pemantauan rapi terhadap kualiti udara.

“Saya mendesak supaya tidak ada usaha untuk menutup maklumat dari pihak-pihak berkuasa yang cuba melindungi kilang-kilang atau syarikat-syarikat yang telah melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Saya tidak mahu mendengar lagi janji-janji manis dari penimpin kerajaan negeri dan agensi agensi berkuasa yang memberi jawapan kosong, kononnya keadaan terkawal dan selamat. Yang nyata keadaan sebenar tidak terkawal kini dan tidak selamat,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, jika masalah pencemaran ini meningkat menjadi bencana, maka kerajaan negeri Johor diminta bersiap sedia untuk memohon kepada Kerajaan Persekutuan supaya mengisytiharkan darurat bencana di Pasir Gudang.

“Saya dapat maklumat daripada pasukan bomba iaitu kes ini adalah kes berulang dari Sungai Kim Kim. Saya difahamkan, bahan yang dikenal pasti semasa kes Sungai Kim Kim, diberikan kepada kontraktor untuk dibersihkan dan dihapuskan,” katanya.

Hari ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memaklumkan, kejadian di Pasir Gudang disahkan berpunca daripada sisa bahan kimia yang mencemari Sungai Kim Kim pada Mac lalu.

Katanya, maklumat berkenaan diperolehi daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang melakukan siasatan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, bahan itu yang turut menyebabkan pencemaran pada Mac lalu masih belum dihapuskan 100 peratus.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close