Berita UtamaIstimewaKata PedangUtama

VIDEO WILLY | Aniaya orang lain

Aksi Mat Rempit punca kemalangan, menyusahkan pengguna lain

SALAM. Pedang terima satu klip video. Bila Pedang tonton memang rasa geram habis. Walaupun tak kena pada Pedang, tapi bayangkan nasib orang lain.

Kalau setakat kereta rosak tak apa, tapi bagaimana jika beberapa nyawa yang tidak berdosa melayang akibat aksi-aksi gila, sekadar hendak menunjuk-nunjuk kepandaian, keberanian, kemudian bangga lalu riak.

Bila kata malas, marah. Apa lagi kalau kita kata bodoh, lebih-lebihlah marah. Memang Pedang marah betul, dan berdoa janganlah bertembung seperti apa yang berlaku dalam klip video itu.

Rakaman menggunakan kamera dalam sebuah kereta menunjukkan Mat Rempit melakukan aksi ‘willy’ di satu selekoh dan kemudian apabila melalui jalan lurus, tiba-tiba penunggang motosikal terbabas ke laluan bertentangan.

Pada masa sama datang sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan, terpaksa mengelak Mat Rempit tadi, menyebabkan kenderaan itu terbabas ke tepi jalan sebelum ‘berguling’ atas jalan raya, dan bertembung pula dengan kereta yang merakam aksi itu.

Cuba bayangkan, kawan kita dalam kereta tu sedang berbual dengan rakannya… rancangan nak buat makan-makan ‘potluck’, tetiba… bummm… kereta kena langgar.


Kalau tak cedera pun mesti terkejut, apa lagi pemandu dan penumpang pacuan empat roda itu sudah pastilah cedera. Kenderaan ‘berguling’ atas jalan raya mestilah cedera. Dan, bayangkan jika ada anak kecil atau bayi di dalamnya.

Puncanya? Si Mat Rempit yang buat ‘willy’ – angkat tayar depan ketika motosikal bergerak – nak tunjuk pandai, tapi salah tempat. Akhirnya, orang lain yang aniaya.

Pedang pun main motor juga dulu, tapi bukan kapcai. Maaf lah… Pedang ada lesen motosikal B – bukan B2 atau B3, tapi yang selalu orang cakap ‘B full’.

Bermakna Pedang layak bawa motosikal pelbagai cc – daripada serendah 70cc hingga 2000cc. Biasa dengar motosikal 2000cc – beratnya 1,433 pound, panjang 11 kaki. Dengan enjin berkembar-V mampu menghasilkan 510 lb.-ft tork (tenaga putaran) dan ‘meletupkan’ 350hp (kuasa kuda) (gambar bawah tengah).

Antara kapcai dan ‘superbike’ 2000cc.

Tapi Pedang pernah tunggang motosikal berkuasa tinggi, termasuk BMW 1200rt dan Kawasaki Ninja ZX-14 atau istilah biasa di kalangan penunggang motosikal – Kawasaki 1,400cc – dengan kuasa kudanya 1,441cc, empat silinder (empat injap bagi setiap silinder), DOHC dengan penyejuk cecair. Kelajuannya boleh mencecah sehingga 299 kilometer sejam. Itupun beberapa tahun dulu. Dah lama.

Agak-agak boleh Mat Rempit kendalikan? Kalau tak boleh… buat malu saja nak sombong, bangga, riak dengan aksi ‘willy’. Tak usahlah nak menyusahkan mak bapa, pengguna jalan lain jika setakat nak bangga dengan kawan-kawan.

Pedang pun dulu pernah buat aksi ‘willy’, ‘scorpian’, ‘corner berapi’ atau ‘corner siku’, ‘corner untuk buang bulu tayar baru’. Pedang dan rakan-rakan dulu buat aksi guna ‘superbike’… tak main kapcai Mat Rempit. Tapi, Pedang buat di tempat khas, tak ada pengguna jalan raya, tak ganggu siapa… kalau jatuh sendiri sakit… patah la jari sikit-sikit.

Aksi-aksi yang Pedang buat dulu bukan untuk berlagak sombong, membangga diri atau riak. Tapi belajar aksi ‘advanced riding techniques’. Sebab, jika menggunakan motosikal berkuasa tinggi, kita mesti melalui kursus khas pengendaliannya. Jauh beza dengan kapcai. Sebelah mata pun tak pandang kapcai… maaf cakap la.

Nak belajar tunggang motosikal pun kena tahu serba serbi mengenai motosikal. Kalau tanya ‘Mat Willy’, tahu kah apa maksud CC yang selalu disebut. Contoh 70cc; 125cc; 250cc; 500cc; 800cc; 1000cc; 1250cc; atau 1400cc. Kalau tak tahu belajar dulu sebelum tunggang motosikal.

Berbalik pada kisah dalam video tadi, memanglah siapa yang mengalami keadaan seperti itu akan marah… menyumpah seranah. Kalau nak sakit, janganlah babitkan orang lain.

Bayangkan, yang buat ‘willy’ itu cedera sahaja, tapi kalau yang di dalam kereta atau pacuan empat roda tu maut, macam mana? Lebih parah jika yang meninggal tu mak bapa atau abang, adik atau kakak si Mat Rempit yang buat ‘willy’ tu.

Kerana aksi dia, mak bapanya terbunuh. Maka, jadilah dia sebagai ‘pembunuh’ mak bapa sendiri. Menyesallah seumur hidup. Apalagi bila orang kampung kata ‘engkau yang menjadi punca mak bapa engkau mati’. Ishh… marah betul Pedang.

Bukan tak ada operasi pihak berkuasa membanteras Mat Rempit, Mat Willy, tapi jumlah kilometer jalan raya lebih banyak daripada anggota polis. Pedang percaya orang ramai pun kerap melaporkan perbuatan Mat Rempit, terutama berlumba di jalan raya, dan teruskanlah salur maklumat.

Tidak cukup dengan mengharapkan undang-undang sahaja, ibu bapa dan keluarga juga memainkan peranan menasihatkan anak-anak mereka yang memiliki dan menunggang motosikal supaya tidak melakukan aksi berbahaya di jalan raya.

Kalau sendiri nak sakit jangan menyusahkan orang lain. Harap kawan kita tu dapat teruskan program ‘potluck’.

Kata Pedang: Pedang dah tak jadi ‘bikes’. Tapi, balik kampung masa Aidilfitri baru-baru ni ada pula saudara yang datang rumah naik Harley Davidson. Mulalah…
Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net, tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close