Berita UtamaDuniaIstimewaTimur TengahUtama

Malaysia sertai negara lain elak guna ruang udara konflik, Iran

Ketika MH17 ditembak jatuh di ruang udara Ukraine pihak industri percaya bahawa risiko terbang tinggi di zon konflik adalah minimum

QATAR, 18 Syawal 1440H, Sabtu – Malaysia Airlines Berhad (MAB) menjadi antara syarikat penerbangan dunia yang mengelak daripada menggunakan ruang udara dikawal Iran – Selat Hormuz dan Teluk Oman – selepas Agensi Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) mengeluarkan nota amaran, semalam.

Beberapa syarikat dilaporkan sudah menyusun semula jadual perjalanan, dan sesetengahnya menggantung penerbangan yang sebelum ini menggunakan ruang udara dikawal Iran, selepas amaran itu.

FAA semalam, mengeluarkan nota kecemasan susulan peningkatan aktiviti ketenteraan dan ketegangan politik di rantau Teluk, selepas Iran menembak jatuh sebuah dron tentera AS menggunakan peluru berpandu darat ke udara, mencetuskan ancaman keselamatan yang serius kepada pesawat komersial.

Serangan ke atas dron Global Hawk bernilai AS$130 juta tanpa senjata itu – yang boleh terbang dan mencecah ketinggian 60,000 kaki – adalah insiden terbaharu krisis AS-Iran, selepas serangan bom ke atas enam kapal minyak di rantau Teluk yang mengancam pasaran minyak dunia.

Menurut aplikasi pengesanan penerbangan, FAA berkata, pesawat awam terdekat yang beroperasi ketika dron itu ditembak jatuh, berada pada jarak kira-kira 45 batu nautikal (83 kilometer).

“Terdapat banyak pesawat awam yang beroperasi di kawasan itu ketika dron berkenaan dipintas,” kata FAA sambil menjelaskan nota amaran akan kekal sehingga satu notis baharu dikeluarkan.

Beberapa jam sebelum itu, United Airlines menggantung penerbangan antara Lapangan Terbang Newark di New Jersey ke bandar kewangan India, Mumbai, atas faktor keselamatan.

British Airways; Lufthansa (Jerman); KLM (Belanda); Qantas Airways Limited (Australia); Cathay Pacific (Hong Kong); Singapore Airlines Limited, Malaysia Airlines; dan Emirates Airlines (Emiriah Arab Bersatu), menyusun semula jadual penerbangan untuk mengelak melalui kawasan terbabit.

Felo Council on Foreign Relations (CFR), kumpulan pemikir berpangkalan di AS, Amy Myers Jaffe berkata, dengan mengelak menggunakan ruang udara dikawal Iran, bakal menjejaskan kos bahan bakar pesawat, sekali gus menjejaskan penerbangan antarabangsa.

“Ia adalah satu lagi kesan kerana pada masa sama harga minyak lebih tinggi, dan kos operasi untuk laluan pintasan akan lebih tinggi,” katanya.

Katanya, serangan militan Houthi ke atas lapangan terbang komersial Arab Saudi pada 12 Jun, dan serangan peluru berpandu ke atas kemudahan minyak di selatan Iraq dua hari lalu, sepatutnya memberi peringatan kepada syarikat penerbangan bahawa peningkatan konflik di rantau itu akan menjejaskan lapangan terbang tempatan.

“Risiko serangan berterusan harus menjadi sesuatu yang syarikat penerbangan perlu ambil kira dalam menilai risiko pelbagai laluan,” katanya.

FAA berkata, agensi itu tetap bimbang dengan peningkatan aktiviti ketenteraan dan ketegangan politik di rantau laluan pesawat awam yang tinggi, serta kesediaan Iran menggunakan peluru berpandu jarak jauh di ruang udara antarabangsa, dengan sedikit atau tanpa amaran langsung.

Malaysia mempunyai sejarah tersendiri melalui ruang udara di wilayah konflik, apabila pada Julai 2014, MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu di ruang udara Ukraine, membunuh semua 298 penumpang dan anak kapal, sekali gus mendorong syarikat penerbangan mengambil langkah tambahan mengelak ancaman terhadap pesawat mereka.

Namun, menurut pakar keselamatan, kebimbangan berterusan terhadap ancaman ke atas pesawat berpunca daripada kekurangan komitmen negara terbabit untuk mendedahkan maklumat perisikan, atau mengorbankan yuran penerbangan jika menutup ruang udara mereka.

Larangan FAA itu tidak tertakluk kepada syarikat negara lain, tetapi, OpsGroup – yang menyediakan panduan ‘kawasan panas’ kepada pengendali penerbangan – berkata, negara lain patut mengambilnya sebagai sesuatu yang serius.

Pengasas OpsGroup, Mark Zee berkata, terdapat risiko yang jelas jika terbang di ruang udara Iran.

“Sebelum MH17, pihak industri percaya bahawa risiko ke atas pesawat yang terbang tinggi di atas ruang udara zon konflik adalah minimum.

“Kita telah belajar daripadanya (MH17). Kita tidak sepatutnya mengendalikan pesawat penumpang di atas zon konflik. Ketika ini, terutama Teluk Parsi dan Teluk Oman, adalah zon konflik,” katanya.

Membataskan ruang udara merumitkan usaha syarikat penerbangan untuk mengekalkan laluan di rantau itu yang turut sesak, sebahagiannya disebabkan oleh konflik ganas yang menjadikannya tidak selamat untuk terbang di beberapa negara.

“Kerumitan di Timur Tengah adalah cabaran utama. Jika Selat Hormuz menjadi satu-satunya kawasan yang dihadkan, kemudian proses membuat keputusan menjadi lebih mudah kepada operator. Bagaimanapun, terdapat beberapa kawasan berisiko di Timur Tengah.

“Laluan yang tersedia untuk syarikat penerbangan mengecil setiap bulan. Itu tidak bermakna anda hanya memilih mana yang lebih rendah daripada dua risiko. Anda perlu memilih laluan yang benar-benar selamat untuk beroperasi,” kata Zee.

Isnin lalu, sebelum dron tentera AS itu ditembak jatuh, Ketua Eksekutif Qatar Airways, Akbar al-Baker memberitahu agensi berita Reuters, bahawa syarikat itu mempunyai pelan B untuk menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk jika berlaku konflik di wilayahnya.

Tetapi, pada 1700 waktu GMT semalam, Flightradar24 menunjukkan Qatar Airways masih terbang melalui kawasan yang dilarang FAA kepada pesawat AS.

Etihad Airways, menurut Flightradar24, juga telah terbang di kawasan itu lebih awal dan berkata, mereka memantau keadaan di wilayah itu, serta sudah menyediakan pelan luar jangka.

Syarikat penerbangan itu setuju untuk menukar beberapa laluan penerbangan yang beroperasi di Teluk Arab selepas berunding dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam UAE.

Emirates menyusun semula laluan semua pesawatnya supaya jauh daripada kawasan konflik di Teluk, sementara Flydubai pula menyelaras semula sesetengah laluan penerbangannya dan akan melakukan perubahan jika perlu.

United Airlines dalam satu kenyataan berkata, mereka menggantung penerbangan ke India melalui ruang udara Iran, selepas kajian teliti dilakukan ke atas keselamatan, tetapi tidak menyatakan sehingga bila langkah itu akan berakhir.

Jurucakapnya berkata, pelanggan yang terbang dari Mumbai ke Newark akan ditempah untuk penerbangan alternatif ke AS.

“Kami meneroka semua pilihan dan terus berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan,” katanya.

Jurucakap Lufthansa berkata, syarikat itu sudah mengelak daripada melalui ruang udara Selat Hormuz sejak Khamis lalu, dan menambah kawasan zon tidak terbang meliputi sebahagian Iran pada Jumaat, namun masih kekal menyediakan perkhidmatan ke Tehran.

British Airways pula berkata mereka akan mematuhi panduan dan arahan FAA, mengelak menggunakan ruang udara Iran dengan beralih ke laluan lain.

Syarikat Belanda, KLM juga sudah tidak lagi terbang di ruang udara Selat Hormuz, sementara Malaysia Airlines turut mengelak kawasan sama yang sebelum ini dilalui pesawat dari Kuala Lumpur ke London, Jeddah dan Madinah.

Qantas; Singapore Airlines; Cathay Pacific; American Airlines; Delta Air Lines; Japan Airlines; dan ANA Holding Inc, juga memaklumkan mengubah laluan penerbangan dan mengelak daripada menggunakan ruang udara Iran, Selat Hormuz serta Teluk Oman. – Agensi

Trump lulus serang Iran tapi…

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close