Amerika SyarikatBerita UtamaDuniaIstimewaTimur TengahUtama

Trump lulus serang Iran tapi…

Arahan sasar radar dan pasukan peluru berpandu ditarik balik

BANGI, 17 Syawal 1440H, Jumaat – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meluluskan serangan ke atas Iran, susulan tindakan Tehran menembak jatuh sebuah dron AS$130 juta milik tentera AS, lapor The New York Times (NYT).

Pegawai kanan White House memberitahu NYT, kelulusan itu bagaimanapun ditarik balik.

Katanya, rancangan serangan yang disokong Trump dan menyasarkan beberapa kedudukan Iran, termasuk radar dan pasukan peluru berpandu, adalah sebagai ‘langkah awal’ yang sepatutnya dilaksanakan semalam, sebelum Washington membatalkannya.

Pesawat pengebom dan jet pejuang sudah berada di udara, sementara angkatan kapal perang AS sudah berada pada kedudukan, tetapi tidak ada peluru berpandu dilepaskan, lapor NYT yang memetik sumber White House dan maklumat lain.

Washington Post dan rangkaian televisyen ABC turut melaporkan perkembangan sama, sambil memetik pegawai White House yang tidak dinamakan, serta beberapa sumber lain.

White House bagaimanapun, belum membuat sebarang kenyataan berhubung laporan itu.

Laporan berhubung serangan yang bakal dilancarkan itu muncul beberapa jam selepas Pengawal Revolusi Iran (IRGC) berkata mereka menembak jatuh sebuah ‘pesawat’ AS selepas ia terbang di ruang udara Iran.

Pegawai AS kemudian berkata, ‘pesawat’ itu adalah dron yang terbang di ruang udara antarabangsa, tetapi ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat ke udara milik Iran.

Trump sebelum itu, menuduh Iran melakukan ‘kesilapan besar’ berhubung kejadian itu, tetapi berpendapat tindakan Tehran mungkin tidak disengajakan.

Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan hari ini berkata, Tehran mempunyai bukti yang tidak dapat dipertikaikan bahawa ‘pesawat’ itu menceroboh ruang udaranya.

Timbalan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi memberitahu Duta Switzerland, Markus Leitner, yang mana negara itu mewakili kepentingan AS di Iran, mengenai bukti berkenaan malam tadi, kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut Araghchi memberitahu utusan Switzerland bahawa semua bangkai dron berkenaan sudah dikeluarkan dari laut di wilayah Iran.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif memberi kordinat tepat di mana beliau mendakwa dron itu ditembak jatuh.

“Pada 00:14 dron AS berlepas dari UAE (Emiriah Arab Bersatu) dalam mod senyap dan menceroboh ruang udara Iran. Ia ditembak jatuh pada 04:05 di kordinat (25°59’43″N 57°02’25″E) berdekatan Kouh-e Mobarak.

“Kami telah mengambil bahagian daripada dron tentera Amerika Syarikat di perairan wilayah kami di mana ia ditembak jatuh,” kata Zarif.

Semalam, Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Majid Takht Ravanchi menghantar surat kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, mengutuk pencerobohan dron AS dan menyifatkannya sebagai melanggar undang-undang antarabangsa.

Berikutan tindakan Iran menembak jatuh dron AS, Agensi Penerbangan Persekutuan AS (FAA) mengeluarkan nota kecemasan melarang mana-mana pesawat AS terbang di beberapa bahagian ruang udara di Teluk, susulan peningkatan aktiviti ketenteraan dan ketegangan politik di rantau itu.

Semua operasi penerbangan di kawasan laut di wilayah maklumat penerbangan Tehran… di atas Teluk Parsi dan Teluk Oman, adalah dilarang sehingga dimaklumkan kemudian susulan peningkatan aktiviti ketenteraan dan ketegangan politik di rantau itu.

Penganalisis memberi amaran bahawa tindakan menembak jatuh dron itu, serta langkah selanjutnya, akan menyebabkan konflik lebih besar melanda rantau berkenaan.

“Ini seperti ketika 1914 di rantau itu – insiden kecil boleh mencetuskan pertembungan dahsyat,” kata Pengarah Kumpulan Krisis Antarabangsa bagi Iran berpangkalan di Belgium, Ali Vaez.

Ia bukan sahaja akan membabitkan Iran dan AS, tetapi keseluruhan rantau itu akan ‘terbakar’, katanya.

Sekutu kuat AS di rantau Teluk, Arab Saudi, hari ini menyatakan sokongan terhadap kempen maksimum menekan Iran, sambil menambah bahawa Riyadh telah berbincang insiden dron berkenaan dengan Washington.

Timbalan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Khalid bin Salman berkata, beliau telah berbincang serangan ke atas dron itu dengan wakil khas AS bagi Iran, Brian Hook.

“Kami menyatakan ketegasan Arab Saudi menyokong AS mengenakan tekanan maksimum ke atas Tehran, berikutan kegiatan Iran yang ganas di rantau itu. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close