Berita UtamaUtama

Pencemaran udara berulang, apa tindakan pihak berkuasa?

PPIM masih menerima aduan mangsa alami komplikasi perubatan

BANGI, 17 Syawal 1440H, Jumaat – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kesal dengan pihak berkuasa negeri dan Persekutuan susulan insiden pencemaran gas yang berlaku di Pasir Gudang, Johor semalam.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, kejadian yang berlaku kali ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak mengambil serius kejadian yang pernah berlaku sebelum ini.

“Sampai bila penduduk harus hidup dalam keadaan begini, apa yang telah dilakukan oleh pihak berwajib dan bagaimana ia boleh berulang.

“Semua pihak berkuasa bertanggungjawab atas apa yang berlaku kali ini, jika dahulu mereka menyalahkan kilang-kilang yang tidak bertanggungjawab, kali ini di mana mereka?

“Mengapa tiada pemantauan berkala dan adakah mereka hanya menjadi bahan ketawa oleh pelaku-pelaku sehingga pencemaran berlaku di kawasan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian itu, 29 pelajar telah mendapatkan rawatan, yang mana 16 daripada mereka adalah dari Sekolah Agama Taman Mawar, manakala 13 orang lagi dari Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang (4). 

Dilaporkan, 14 mangsa telah dirawat sebagai pesakit luar dan 15 mangsa diberi rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, yang mana 6 daripadanya telah dimasukkan ke wad.

Mereka mula mendapatkan rawatan selepas mengalami simptom muntah-muntah serta sesak nafas akibat terdedah kepada pencemaran. Ini adalah kejadian kedua melibatkan pencemaran udara di Pasir Gudang.

Pada 7 Mac lalu, hampir 6,000 penduduk di kawasan sama terjejas akibat pencemaran udara daripada pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim. Pencemaran tersebut turut mengakibatkan 111 buah sekolah ditutup sementara. 

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, pihak berkuasa perlu mengadakan lebih pemantauan berkala bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Sejak kejadian pertama pada bulan Mac tahun ini, PPIM masih mendapat aduan terdapat mangsa yang masih mengalami komplikasi perubatan. Kini kejadian kembali berulang, kami amat bimbang dengan tahap keselamatan penduduk di sana,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close