Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

Mesir sekat TRT Arabi, Anadolu kerana lapor kematian Morsi

Lebih 500 laman web menentang rejim el-Sisi tak boleh diakses

TURKI, 17 Syawal 1440H, Jumaat – Kerajaan rejim Abdel Fattah el-Sisi telah menyekat portal berita TRT Arabi dan Anadolu, lapor Pertubuhan Media dan Komunikasi Antarabangsa (IAMCR) berpangkalan di Ankara.

“Sebagai sebahagian daripada langkah penapisan ke atas media di Mesir, TRT Arabi dan agensi berita Anadolu, disekat oleh rejim Mesir,” kata IAMCR sambil mengutuk tindakan itu yang disifatkan sebagai ‘percubaan rampasan terhadap kebebasan media’.

IAMCR berkata, tindakan rejim Mesir diambil selepas kedua-dua laman berita itu melaporkan secara meluas kematian bekas presiden pertama dipilih secara demokrasi dalam secarah Mesir, Mohamed Morsi, Isnin lalu.

Bekas presiden itu dikurung dalam bilik tahanan selama 23 jam sehari, sejak digulingkan pada 2013 dan secara konsisten dinafikan haknya untuk mendapatkan rawatan perubatan diabetes, buah pinggang dan penyakit hati yang ditanggungnya.

Morsi rebah di dalam mahkamah ketika pertuduhan dibacakan kepadanya Isnin lalu, dan dibiarkan selama 30 minit tanpa bantuan kecemasan, sebelum dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

Menyatakan rasa marahnya, IAMCR berkata, tindakan tidak demokratik rejim Mesir telah melebihi garis merah, dan dunia Barat harus mengakui secara terbuka kewujudan penapisan media di negara itu.

Sejak beberapa tahun lalu, pihak berkuasa rejim el-Sisi menyekat ratusan laman web dan portal berita, yang mana penduduk tempatan dan kumpulan hak asasi manusia antarabangsa sifatkan sebagai sebahagian daripada ‘polisi menyekat kebebasan, menidas perbezaan pendapat serta mengehadkan akses kepada maklumat.

Jumlah platform dan laman web yang disekat di Mesir meningkat kepada 500. Senarai yang disekat merangkumi, portal berita, termasuk VPN, dan penyedia perkhidmatan proksi yang menawarkan akses tanpa had dan selamat ke internet tanpa bimbang diawasi.

Anadolu adalah agensi berita yang rapat dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, yang berjanji membawa kes kematian Morsi ke mahkamah antarabangsa.

Rabu lalu, Erdogan yang hadir menyertai solat jenazah ghaib di Masjid Fatih di Istanbul mengecam Kaherah kerana tidak memberi layanan perubatan sewajarnya kepada Morsi.

Ketika ribuan warga Istanbul turut serta dalam solat itu, beliau menyifatkan Morsi sebagai syahid, dan menyifatkan rejim Mesir sebagai ‘penganiaya’ hingga menyebabkan kematian rakannya itu.

Penyokong kuat Morsi itu juga berkata:

“Saya tidak percaya Morsi meninggal dunia kerana sebab biasa.”

Beliau turut mengecam pihak berkuasa Mesir kerana mengebumikan Morsi secara diam-diam – hanya dihadiri sebahagian kecil anggota keluarga bekas presiden itu. – Agensi

Bagaimana el-Sisi melakukan ‘pembunuhan rahsia’: Laporan

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close