Berita UtamaDuniaIstimewaPalestinUtama

Hamas sedia tukar tawanan, tetapi Netanyahu tangguhkan

Rejim pengganas Israel tolak syarat pembebasan empat askar

GAZA, 17 Syawal 1440H, Jumaat – Pemimpin tertinggi Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Ismail Haniyeh hari ini berkata, Perdana Menteri rejim Israel, Benjamin Netanyahu, menangguhkan perbincangan baharu mengenai kemungkinan pertukaran tawanan.

“Sebaik sahaja rejim Israel menepati kehendak Hamas, kami bersedia mengadakan perbincangan secepat mungkin,” katanya.

Bercakap kepada media di sini, Haniyeh berkata, Netanyahu telah menolak untuk memenuhi syarat bagi memulakan perbincangan nasib dua anggota tentera rejim Israel yang ditahan di Gaza sejak serangan besar-besaran Israel pada 2014, dan dua yang lain dipercayai berada di wilayah terkepung itu.

Syarat itu, katanya, termasuk membebaskan 52 warga Palestin yang dipenjarakan semula selepas pertukaran tawanan pada 2011, yang menyaksikan askar rejim pengganas yang diculik anggota Hamas di Semenanjung Gaza pada 2006, Gilad Shalit, dibebaskan.

Katanya, perbincangan pertukaran tawanan kedua-dua pihak itu dianjurkan pengantara antarabangsa bermula 2016, tetapi berakhir tanpa apa-apa keputusan.

Namun, sejak beberapa bulan lalu, pengantara Mesir, Qatar dan Jerman berhubung dengan Hamas, menawarkan untuk menjadi perantara dan memulakan rundingan, kata Haniyeh.

Dua askar rejim pengganas Israel – Oron Shaul dan Hadar Goldin – hilang ketika serangan ganas Zionis ke atas Semenanjung Gaza pada 2014.

Pada masa itu, sayap tentera Hamas – Brigade Al-Qassam – mengumumkan pejuangnya menangkap askar berkenaan, tetapi tidak memberi butiran lanjut mengenai keadaan mereka sama ada masih hidup atau sudah mati.

Beberapa tahun kemudian, Brigade Al-Qassam mengesahkan kedua-dua askar berkenaan berada dalam tawanan mereka, tetapi tidak menyatakan butiran lanjut.

Pada musim panas 2014, rejim Israel mengumumkan kedua-dua askar terbabit sudah meninggal dunia, dan mengadakan pengebumian rasmi tanpa mayat mereka. Kedua-duanya diklasifikasi sebagai ‘mati dalam perkhidmatan’.

Bagaimanapun, keluarga askar terbabit terus berharap kedua-duanya masih hidup. Tetapi jika sudah mati, mereka mahukan Netanyahu membawa pulang mayat kedua-duanya ke Israel.

Zehava Shaul, ibu kepada askar Israel yang ditawan Hamas, Oron Shaul pada 2014, yakin anaknya masih hidup. – Gambar AFP

“Terdapat jurang… ia belum ditutup. Hati saya tetap berkata dia masih hidup,” kata ibu Oron, Zehava Shaul, pada 2015 sambil menggesa kerajaan Israel mengubah status anaknya kepada ‘hilang dalam perkhidmatan’.

Sejak beberapa tahun lalu, rejim Israel menggunakan pelbagai cara, badan antarabangsa dan pengantara bagi mendapatkan maklumat berhubung kedua-dua askar itu, serta dua lagi yang dipercayai berada dalam tahanan Hamas, sebelum memulakan sebarang perbincangan.

Hamas berulang kali enggan memberi maklumat lanjut.

Haniyeh berkata, sebelum perbincangan pembebasan Shalit, Hamas mengenakan syarat rejim Israel mesti membebaskan 20 tahanan wanita sebagai pertukaran kepada video pendek yang menunjukkan askar berkenaan masih hidup.

“Akhirnya, rejim Israel memenuhi syarat itu. Dan mereka sepatutnya memenuhi syarat seperti itu sekali lagi,” katanya sambil menegaskan bahawa rejim Israel mesti membayar ‘harga’ bagi mendapatkan sedikit maklumat.

Beliau berkata, membebaskan tahanan warga Palestin daripada penjara rejim Zionis adalah antara keutamaan Hamas.

“Kami telah bekerjasama dengan kumpulan Palestin yang lain bagi mengakhiri penderitaan tahanan Palestin di penjara rejim,” katanya dan menegaskan bahawa semua tahanan itu diberi layanan bermaruah ketika dalam penjara.

Katanya, beberapa pihak, termasuk kuasa besar antarabangsa, seperti Mesir, Qatar dan Jerman, menghubungi Hamas dan memberitahu bahawa mereka bersedia menjadi pengantara bagi pertukaran tawanan.

“Kami memberitahu semua negara berkenaan bahawa Israel tidak menghormati syarat sebelum ini. Kami bersedia memulakan perbincangan baharu, tetapi dengan satu syarat bahawa Israel mesti menghormati dan menerima terma sebelum ini, namun Netanyahu menolaknya,” katanya.

Haniyeh berkata, keluarga askar Israel itu hanya perlu menyalahkan Netanyahu kerana melewat-lewatkan perbincangan pertukaran tawanan itu.

“Sebaik sahaja rejim Israel memenuhi syarat, kami akan memulakan perbincangan seberapa segera. Jika mereka menerimanya hari ini, kami bersedia memulakan perbincangan hari ini,” katanya.

Difahamkan, Israel menahan hampir 4,500 warga Palestin di dalam penjara mereka, termasuk 350 yang ditangkap tanpa sebab, tanpa tuduhan dan tidak dibicarakan. – Agensi

Khalil Abu Olba, salah seorang tahanan warga Palestin yang dibebaskan menerusi program pertukaran tawanan dengan Israel pada 2011 diusung sebagai wira. Dalam persetujuan itu, Hamas membebaskan seorang anggota tentera rejim yang ditawan mereka, Gilad Shalit. – Gambar Reuters
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close