Berita UtamaUtama

Polis tangkap 6 suspek samun, seret wanita di Wakaf Bharu

Suspek sentap beg tangan, mangsa diseret sejauh lima meter

TUMPAT, 16 Syawal 1440H, Khamis – Enam suspek dalam kejadian samun seorang wanita sehingga mendatangkan kecederaan di Wakaf Bharu, di sini pada 24 Mei lalu akhirnya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, semua suspek itu ditahan di beberapa lokasi di Tumpat serta Kota Bharu sejak penghujung Mei sehingga semalam.

Beliau berkata, semua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamin dan aktif melakukan samun, pecah rumah dan curi kenderaan.

“Polis percaya semua suspek ini mulai aktif sejak setahun lalu dan melakukan jenayah sekitar Tumpat, Kota Bharu dan Pasir Puteh.

“Berdasarkan rekod kesemua suspek, termasuk seorang wanita yang berusia antara 24 hingga 38 tahun ini mempunyai 10 rekod jenayah kesemuanya,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Pilis Daerah (IPD) Tumpat, di sini, hari ini.

Ab Rashid berkata, kes terbaru membabitkan kumpulan ini adalah kes di Wakaf Bharu pada 24 Mei lalu apabila empat suspek menyamun seorang wanita.

Katanya, dalam kejadian itu, berdasarkan rakaman CCTV suspek dilihat menyentap beg tangan mangsa tetapi tidak dilepaskan sehingga mangsa diseret sejauh lima meter.

“Akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan di badan serta kaki selepas terseret di atas jalan.

“Sebelum kejadian itu, seorang daripada suspek menggunakan kad debit palsu mengisi petrol berjumlah RM178 di sebuah stesen minyak di Wakaf Bharu,” katanya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close