Berita UtamaUtama

Pemuda cedera ditembak polis trafik, ibu bapa tuntut keadilan

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mat Kasim Karim sahkan terima aduan tetapi tiada laporan dibuat oleh anggota polis terbabit

ALOR SETAR, 16 Syawal 1440H, Khamis – Seorang lelaki berusia 21 tahun cedera parah di bahagian lengan kiri, selepas terkena tembakan yang dilepaskan seorang anggota polis trafik dalam kejadian di Jalan Langgar, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi tadi, Mohd Alif Anuar yang membonceng motosikal ditunggang rakannya Zulhilmi Azri, 22, sedang dalam perjalanan dari Kuala Kedah menuju ke tempat kerja mereka, di Alor Mengkudu, di sini.

Ibu mangsa, Hashimah Mahmood, 49, mendakwa anaknya itu telah ditembak oleh anggota polis trafik, yang cuba memberhentikan motosikal dinaiki anaknya, yang sebelum itu melanggar lampu isyarat merah di jalan berkenaan.

“Anak saya kini berada di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah, akibat cedera parah dan doktor memaklumkan bahawa pembedahan untuk mengeluarkan sebutir peluru di bahagian tangan anak saya akan dijalankan malam ini.

“Dia yang berada dalam keadaan sedar memberitahu saya bahawa dia telah menyuruh rakannya untuk memberhentikan motosikal, namun rakannya enggan berbuat demikian kerana bimbang ditahan berikutan tidak mempunyai lesen memandu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Hashimah berkata, dia tidak berpuas hati dengan tindakan polis berkenaan, yang melepaskan tembakan terhadap anaknya dan berharap tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap anggota terbabit.

“Saya dimaklumkan, selepas melepaskan tembakan itu, anggota polis itu meninggalkan anak saya dalam keadaan berlumuran darah dan tidak membantu menghubungi ambulans.

“Saya mahu tuntut keadilan, kerana anak saya mungkin akan mengalami cacat seumur hidup,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mat Kasim Karim mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu, bagaimana pun tiada laporan dibuat oleh anggota terbabit.

“Berkemungkinan tembakan yang dilepaskan adalah untuk tujuan memberhentikan motosikal berkenaan, namun tindakan itu adalah tidak wajar dan bertentangan dengan PTKPN.

“Sekiranya tindakan anggota polis itu bertentangan dengan undang-undang, ia membuka ruang kepada mangsa untuk mengambil tindakan sivil terhadap pasukan polis,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Difahamkan Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob akan mengeluarkan kenyataan mengenai kejadian itu, esok.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close