Amerika SyarikatAsean/Asia-PasifikBerita UtamaDuniaUtama

Malaysia dalam senarai Apple untuk pemindahan teknologi

'Perang dagang' AS-China paksa pengeluar iPhone cari negara lain

TAIWAN, 16 Syawal 1440H, Khamis – Apple Inc, syarikat berpangkalan di Cupertino, California, Amerika Syarikat (AS) bercadang memindahkan antara 15 peratus hingga 30 peratus kapisiti pengeluarannya dari China ke Asia Tenggara.

Nikkei Asian Review melaporkan, Apple, salah satu daripada empat gergasi teknologi dunia, telah meminta pembekal mereka membuat pengiraan implikasi kos bagi pemindahan, dalam usaha menstruktur semula rantaian bekalannya, susulan ‘perang dagang’ antara AS dan China.

Untuk tujuan itu, Apple turut meneliti Malaysia sebagai salah sebuah negara pilihan selain, Mexico, India, Vietnam dan Indonesia. Bagaimanapun, India dan Vietnam menjadi antara kegemaran untuk telefon bimbitnya, iPhone, kata beberapa pihak kepada Nikkei.

Apple turut mengeluarkan Apple Watch, Apple iPad Family dan Macintosh.

Syarikat gergasi teknologi di samping Amazon, Google dan Facebook itu dilaporkan mengambil langkah demikian susulan ketegangan perdagangan antara Washington dan Beijing, namun pelbagai sumber memberitahu, jika pun isu antara AS dan China selesai, Apple tetap dengan rancangan pemindahannya.

Apple sebelum ini, sanggup menanggung risiko besar apabila memulakan pengeluaran di China yang dilakukan sejak berdekad lalu, sehingga menjadi kebanggaannya.

“Kadar kelahiran yang rendah, kos buruh yang tinggi dan risiko terlalu menumpukan pengeluarannya di satu negara. Faktor merugikan ini tidak akan berlaku di mana-mana sahaja.

“Dengan atau tanpa kajian akhir tarif sebanyak AS$300 bilion, Apple mengikuti trend besar untuk mempelbagaikan tempat pengeluarannya,” lapor Nikkei.

China menjadi pangkalan pengeluaran pelbagai jenama keluaran Apple di seluruh dunia sejak dua dekad lalu. Negara tembok besar itu bukan sahaja mampu menyediakan ribuan pekerja mahir dalam tempoh singkat bagi memenuhi permintaan pengeluaran, tetapi memiliki komponen ekosistem yang luas dan kompleks, logistik serta bakat yang ada di dalam dan luar Apple.

Menurut maklumat di dalam laman web Apple, kira-kira lima juta warga China bergantung kepada kehadiran Apple di negara itu, termasuk lebih 1.8 juta pekerja sektor pembangunan perisian dan aplikasi iOS. Apple sendiri mempunyai 10,000 kakitangan di China.

Hujung tahun lalu, Apple dilaporkan telah memperbesarkan pasukan kajiannya untuk berbincang dengan pengedar, dan berunding dengan beberapa kerajaan mengenai insentif kewangan yang ditawarkan jika Apple memindahkan pengeluarannya, selain melihat kepada peraturan serta persekitaran perniagaan tempatan.

Semua syarikat terbabit dalam pemasangan iPhone – Foxconn, Pegatron, Wistron, MacBook (Quanta Computer), pembuat iPad, Compal Electronics, dan pembuat AirPods (Inventec), Luxshare-ICT dan Goertek, turut diminta menilai pilihan di luar China.

Banyak pembekal peralatan Apple yang lain, seperti papan litar cetak dan penyedia sarung, memantau dengan teliti di mana syarikat berkenaan akan memindahkan pengeluaran mereka.

Penyelia menyemak nama pekerja ketika perbarisan di Pegatron Corp, kilang di Shanghai, China, di mana iPhone dikeluarkan. – Gambar Bloomberg

“Kami perlu tahu di mana semua syarikat besar itu akan tuju. Dengan itu kami juga akan dapat menyusun rancangan,” kata eksekutif syarikat pembekal komponen Apple kepada Nikkei.

Walaupun, pembekal Apple – Wistron – memasang iPhone dengan kos lebih rendah di India sejak 2017, dan diikiti Faxconn tahun ini, jumlahnya terlalu kecil, berbanding lebih daripada 90 peratus produk Apple dipasang di China.

Apple juga tidak meletakkan tarikh akhir kepada pembekalnya untuk menyediakan laporan cadangan perniagaan, tetapi kedua-dua pihak bekerjasama untuk mengenal pasti insentif menarik ditawarkan, serta persekitaran negara di luar China.

Penganalisis berkata, tindakan Apple adalah logik dan satu keperluan.

“Kami berasa amaran Presiden Donald Trump mengenai kenaikan tarif sebanyak 25 peratus… benar-benar berfungsi sebagai pencetus dalam rantaian bekalan yang mana mereka tidak boleh terus berpura-pura bahawa tarifnya akan tetap sama,” kata penganalisis GF Securities, Jeff Pu.

Katanya, setiap syarikat perlu memulakan pelan B dan melihat kemudahan pengeluaran di luar China, walaupun ia akan mengambil masa untuk dpindahkan.

Namun, ia mungkin tidak sehebat apa yang China tawarkan. Pada awal tahun-tahun 2000, kerajaan tempatan di China meningkatkan penyediaan kemudahan asas, seperti air, jalan, utiliti, malah asrama pekerja.

Beijing juga menawarkan kemudahan proses import dan eksport, serta peraturan buruh yang sederhana. Negara lain, dengan kekurangan kemudahan pembangunan, tidak mampu untuk menandingi insentif seperti itu.

Malah, beberapa pembekal yang menghabiskan masa tiga hingga lima bulan menilai satu lokasi, tetapi kemudian mendapati wujudnya risiko kekurangan bekalan tenaga elektrik, kata satu sumber kepada Nikkei.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close