Berita UtamaTULARUtama

Kucing mati: Polis cari wanita

Kejadian tular di Facebook berlaku di Bukit Beruang, Melaka

MELAKA, 16 Syawal 1440H, Khamis – Polis Melaka sedang mengesan seorang wanita, bagi membantu siasatan berhubung kes seekor kucing ditemui mati dipercayai dibunuh, yang tular di media sosial Facebook dalam kejadian di Bukit Beruang di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Afzanizar Ahmad berkata, polis menerima laporan daripada pengadu, seorang lelaki berusia 34 tahun pada jam 10.30 pagi tadi, melaporkan pada 8.30 pagi Sabtu lepas pengadu diberitahu jirannya, ada seekor kucing mati di hadapan kedai makannya.

Beliau berkata, kucing yang berusia kira-kira tiga bulan itu adalah milik pengadu, dan setelah membuat semakan kamera litar tertutup di kedai makannya, didapati seorang wanita menaiki motosikal Modenas Kriss berwarna biru meletakkan motosikal di hadapan kedainya, serta dilihat sedang mencari sesuatu.

“Kemudian pengadu dapati selepas beberapa minit, ada seekor anak kucing melintas di hadapan kedai pengadu dan wanita itu telah mengambil kucing itu ke tepi kaki lima kedai pengadu, membuat sesuatu yang tidak pasti kepada kucing tersebut.

“Semalam (18 Jun) pengadu dapati kejadian kucing mati itu telah diviralkan dalam Facebook. Siasatan mendapati tiada sebarang saksi yang nampak akan kejadian yang berlaku,” katanya dalam kenyataan menerusi aplikasi Whatsapp di sini semalam.

Afzanizar berkata, siasatan mendapati bahawa terdapat rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian yang merakamkan akan kejadian yang berlaku, namun perbuatan suspek memukul kucing itu tidak kelihatan.

Beliau berkata, identiti suspek termasuk umur, masih disiasat dan seksyen kes juga belum diklasifikasi. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close