ArtikelBerita UtamaUtama

Benarkah pendidikan Islam tiada elemen pendidikan sivik?…

Atau pemimpin politik yang tiada kesedaran sivik dan pendidikan agama

KERAJAAN arah agar elemen pendidikan sivik diterapkan ke dalam pendidikan Islam di sekolah-sekolah. Arahan ini sedang dibincangkan pelaksanaannya di peringkat sekolah sekarang.

Setahu saya, pendidikan Islam itu penuh dengan prinsip-prinsip yang melahirkan warga negara yang mempunyai kesedaran sivik yang baik.

Sebagai contoh, pendidikan Islam ajar anak-anak kita agar jangan menipu. Tetapi realitinya pemimpin politik menipu terang-terangan.

Pendidikan Islam ajar anak-anak kita agar jangan ambil rasuah. Tetapi realitinya pemimpin politik ambil rasuah berjuta-juta.

Pendidikan Islam ajar anak-anak kita agar jangan memfitnah. Tetapi realitinya pemimpin politik memfitnah dan mereka masih aktif bahkan ‘survive’ dengan fitnah.

Pendidikan Islam ajar anak-anak kita agar jangan mengutuk bangsa sendiri dan kaum lain. Tetapi realitinya pemimpin politik kutuk bangsa sendiri dan membiarkan kaum lain kutuk bangsanya depan mata kepalanya sendiri.

Pendidikan Islam ajar anak-anak kita agar jangan menghina mana-mana agama. Tetapi realitinya pemimpin politik semakin tak mampu mengekang penghinaan ke atas agama Islam, malah menuduh orang Islam pula mendiskriminasi penganut agama lain dalam khutbah Arafah.

Pendidikan Islam ajar anak-anak kita agar berlaku adil menurut undang-undang walaupun ke atas kawan sendiri. Tetapi realitinya pemimpin politik guna kuasa untuk sekat keadilan agar kawan tak kena hukuman.

Pendidikan Islam ajar anak-anak kita agar menjauhkan diri daripada perkara lucah. Tetapi realitinya anak-anak Malaysia tahu perkataan liwat secara terbuka daripada pemimpin politik sejak 20 tahun lalu dan masih berlaku lagi pada hari ini.

Pendidikan Islam ajar anak-anak kita bahawa arak itu haram dan mabuk itu memudaratkan masyarakat. Tetapi pemimpin politik yang kata itu dosa peribadi jika diminum dalam ruang peribadi dan pemimpin politik juga yang tidak bertegas sehingga sudah ramai orang mati kerana pemandu mabuk pada hari ini.

Pendidikan Islam ajar anak-anak kita bahawa judi itu haram dan menyebabkan pergaduhan dalam masyarakat. Tetapi pemimpin politik juga yang membenarkan syarikat judi beroperasi dan melahirkan kumpulan-kumpulan samseng.

Pendidikan Islam ajar anak-anak kita bahawa tukar jantina dan seks sejenis itu dilaknat Allah. Tetapi realitinya pemimpin politik juga yang beri, kepada puak-puak itu, pentas sidang media di JAKIM untuk normalisasi kesongsangan dan pentas ucapan di PBB untuk kutuk jabatan agama sendiri.

Banyak lagi kalau nak disenaraikan. Soalan paling penting ialah:

Adakah masalah kita sebenar ialah pendidikan Islam yang dikatakan tiada elemen pendidikan sivik?

Atau adakah masalah sebenarnya ialah pemimpin politik tiada kesedaran sivik, apatah lagi pendidikan agama?

Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman
Ahli Majlis Syura Isma

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close