Berita UtamaDunia

Serangan Israel ‘lumpuhkan’ dua lapangan terbang utama Syria

Cubaan terdesak rejim alihkan perhatian dari konflik di Gaza

DAMSYIK, 27 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Serangan Israel mengakibatkan dua lapangan terbang utama Syria tidak beroperasi pada Khamis, lapor media kerajaan negara itu.

Serangan pertama seumpama itu sejak serangan Hamas hujung minggu lalu ke atas Israel, yang mencetuskan pertempuran sengit.

Serangan berulang kali Israel menyebabkan penerbangan di lapangan terbang di Damsyik dan utara Aleppo terhenti – di mana kedua-duanya dikawal kerajaan Syria yang dilanda perang.

Serangan ‘serentak’ itu merosakkan laluan pendaratan di kedua-dua lapangan terbang, menyebabkan ia tidak dapat beroperasi, kata media kerajaan, memetik sumber tentera yang enggan dikenali.

Serangan terbaharu berlaku ketika Hamas dan Israel berbalas tembakan untuk hari keenam, selepas ratusan pejuang Hamas merentasi sempadan Gaza ke Israel pada Sabtu.

Konflik juga tercetus ketika Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken melawat Israel serta beberapa jam selepas Presiden Iran, Ebrahim Raisi menerusi panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari Syria, Bashar al-Assad menyeru negara Arab dan Islam untuk bekerjasama menghadapi Israel.

Sumber tentera yang dipetik oleh media kerajaan Syria menyifatkan, serangan itu sebagai ‘percubaan terdesak’ Israel untuk ‘mengalihkan perhatian’ daripada konflik dengan Hamas di Gaza.

Sepanjang lebih sedekad perang di Syria, Israel melancarkan ratusan serangan udara ke atas jirannya di utara, terutamanya menyasarkan tentera yang disokong Iran dan pejuang Hizbullah Lubnan serta kedudukan tentera Syria.

Israel jarang mengulas mengenai serangan yang dilakukannya ke atas Syria, tetapi berulang kali menyatakan, ia tidak akan membenarkan musuh ketatnya Iran – yang menyokong kerajaan Assad – menperluaskan pengaruh di sana.

Iran – yang menyokong Hamas – pada Sabtu meraikan serangan Hamas ke atas Israel, namun menegaskan negara itu tidak terlibat dalam konflik. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button