Asean/Asia-PasifikBerita UtamaDuniaEropahIstimewaUtama

MH17: Inilah empat suspek utama

Pemimpin militan disokong Russia akan dibicara di Belanda Mac 2020

BELANDA, 15 Syawal 1440H, Rabu – Empat suspek berdepan tuduhan membunuh kerana menembak jatuh Malaysia Airlines MH17 pada Julai 2014 lalu, selepas penyiasat mengeluarkan laporan terperinci berhubung serangan pesawat yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal.

Igor Girkin; Sergey Dubinsky; Oleg Pulatov; dan Leonid Kharchenko secara rasmi dinamakan oleh pendakwa raya Belanda hari ini.

Tiga daripada mereka adalah anggota tentera Russia yang dituduh membantu militan Ukraine untuk memperoleh dan memindahkan sistem peluru berpandu antipesawat canggih.

Semua mereka akan dibicara tanpa kehadiran, yang dijadual akan dimulakan pada Mac tahun depan di Belanda, di mana kebanyakan mangsa berasal dari negara itu.

“Semua mereka terbabit mengangkut peluru berpanduk Buk yang menjatuhkan pesawat MH17. Adalah jelas kumpulan pemisah berada dalam senarai teratas di sebalik serangan itu,” lapor wartawan Al Jazeera, Step Vaessen.

Semalam, Timbalan Menteri Luar Ukraine, Olena Zerkal memberitahu berita Interfax bahawa keempat-empat mereka hanya orang atasan.

“Sebenarnya, jumlah mereka yang terbabit dalam serangan itu lebih besar daripada empat individu itu,” katanya.

Agensi berita melaporkan pendakwa akan menghantar dokumen dakwaan kepada Russia supaya Moscow boleh memberitahu suspek mengenai tuduhan terhadap mereka.

Bagaimanapun, tidak ada permintaan rasmi untuk mengekstradisi mereka. Ukraine dan Russia mempunyai undang-undang yang menghalang ekstradisi mana-mana individu.

Igor Girkin; Sergey Dubinsky; Oleg Pulatov; dan Leonid Kharchenko, adalah empat individu terkenal dikenal pasti oleh Bellingcat – rangkaian penyiasat – sebagai dalang di sebalik serangan itu.

Bellingcat menganalisis lebih 150,000 perbualan menerusi telefon bimbit yang disiarkan Pasukan Siasatan Bersama MH17 diketuai Belanda, dan Perkhidmatan Keselamatan Ukraine.

Girkin, yang juga dikenali sebagai Igor Streikov menggunakan nama kod ‘Strelok’ menerusi perbualan telefon yang dipintas, adalah bekas kolonel agensi perisikan Russia, FSB, agensi yang menggantikan KGB.

Pada 2014, Bellingcat melaporkan, Girkin adalah ‘menteri pertahanan’ bagi Republik Rakuay Donetsk (DNR) – kumpulan militan disokong Russia yang diisytiharkan sebagai pengganas oleh pihak berkuasa Ukraine.

Pasukan perisikan DNR diketuai oleh Dubinsky (nama kod – Khmury), yang Ukrain klasifikasikan sebagai anggota perisikan tentera Russia. Perbualan telefon yang dipintas menunjukkan dia adalah individu pertama yang meminta pelancar peluru berpandu Buk.

Bellingcat melaporkan bahawa kumpulan di bawah arahan Dubinsky memainkan peranan utama membuat keputusan menembak jatuh MH17, dengan anggapan bahawa ia adalah pesawat musuh.

Pulativ pula adalah bekas leftenan kolonel dalam tentera Russia, dan orang nombor dua selepas Dubinsky ketika MH17 ditembak jatuh. Dia bertanggungjawab mengawal pelancar peluru berpandu Buk. Dia juga adalah individu di sebalik nama ‘Gyurza’.

Kharchenko, dikenal pasti menerusi pintasan perbualan telefon sebagai ‘Krot’ adalah satu-satunya warga Ukraine. Dia mengetuai batalion DNR Krot, dan dikatakan menyelaraskan pemindahan pelancar peluru berpandu ke tapak pelancaran. Selepas pesawat penumpang itu musnah, dia menguruskan pemindahan sistem pelancar itu ke Russia.

Dia dipercayai masih berada di Ukraine, kata pendakwa Belanda, tatkala mereka menyediakan waran penangkapan antarabangsa terhadap keempat-empat suspek.

Mereka juga akan diletakkan dalam senarai orang dikehendaki pada peringkat dunia sebelum perbicaraan dimulakan. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close