Berita UtamaDuniaUtama

Facebook bakal lancar kripto

Mata wang maya tidak patuhi ciri-ciri ditetapkan dalam Islam

AMERIKA SYARIKAT, 15 Syawal 1440H, Rabu – Facebook, mengumumkan bersedia melancarkan mata wang kripto dengan nama Libra, kata laman media sosial gergasi dunia itu, semalam.

Mata wang digital itu akan mula beroperasi secara dalam talian mulai pertengahan 2020 jika pengawal selia di Switzerland, di mana mata wang baharu itu berpangkalan, memberi kebenaran.

Facebook juga sudah mewujudkan pasukan pengurusan dengan nama Calibra, yang menawarkan dompet digital untuk menyimpan, menghantar dan membelanjakan Libra. Ia akan disambungkan kepada berbilion pengguna aplikasi Messenger dan platform WhatsApp.

Bekas Eksekutif PayPal, David Marcus, yang mengetuai projek Facebook itu berkata, nama itu diilhamkan menerusi pengukuran berat Rom, tanda astrologi untuk keadilan dan perkataan Perancis yang bermaksud kebebasan.

“Kebebasan, keadilan dan wang. Itu sebenarnya yang kami cuba lakukan di sini,” katanya.

Projek itu membabitkan kerjasama 28 syarikat, termasuk Mastercard; Visa; Sportif; PayPal; eBay; Uber; dan Vodafon, selain beberapa firma usahasama lain.

Januari tahun lalu, Facebook mengharamkan pengiklanan jualan bitcoin dan mata wang kripto lain di laman mereka.

Bitcoin adalah salah satu mata wang perbankan maya atau mata wang digital, mula muncul pada 2009. Ia dicipta dan dipasarkan secara elektronik, dan tidak terdapat dalam bentuk fizikal.

Bitcoin juga adalah aset spekulatif dan orang ramai yang melabur mata wang itu melakukannya dengan risiko sendiri.

Di Malaysia, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri merumuskan bahawa mata wang ini tidak menepati ciri-ciri yang ditetapkan dalam Islam apabila ia tidak mampu menyimpan nilai secara konsisten.

Katanya, meskipun masyarakat umum boleh menerimanya sebagai mata wang, namun ketidakstabilan nilai pada mata wang ini boleh mengundang kemudaratan kepada pengguna pada masa akan datang.

“Maka mata wang bitcoin dalam bentuk yang ada pada masa sekarang adalah tidak syar’iy kerana ia tidak menepati sepenuhnya ciri-ciri mata wang yang digariskan oleh Islam, dan ia mampu memberikan pelbagai ancaman terhadap kemaslahatan umum.

“Namun begitu, hukum ini boleh berubah jika penambahbaikan dilakukan terhadap bitcoin samada dari sudut pengeluaran, pengawalan harga, sistem keselamatan di bursa dan regulasi untuk mengelakkannya daripada diekploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan hujahan ini juga, Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan telah memutuskan bahawa Bitcoin yang terdapat pada masa sekarang tidak menepati ciri-ciri mata wang yang telah ditetapkan oleh Islam, diputuskan bahawa Bitcoin mampu mengundang pelbagai kemudaratan terhadap sistem kewangan sesebuah negara.

“Oleh kerana itu, penggunaan Bitcoin yang ada pada masakini sebagai satu mata wang adalah dilarang bagi memelihara kemaslahatan umum,” katanya dalam Bayan Linnas Siri Ke-153.

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2773-bayan-linnas-153-hukum-penggunaan-mata-wang-bitcoin

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close