Berita UtamaDuniaUtama

113 kanak-kanak di India maut akibat virus Ensefalitis

Radang otak disebabkan virus didakwa berpunca daripada buah laici

PATNA, 15 Syawal 1440H, Rabu – Sepuluh kanak-kanak meninggal dunia semalam akibat radang pada otak atau dikenali Ensefalitis di negeri Bihar, bahagian timur India, menjadikan angka kematian meningkat kepada 113 orang, lapor pegawai.

Sementara 60 lagi kanak-kanak, kebanyakannya berusia di bawah lingkungan 10 tahun dan kurang mendapat zat makanan, menjalani rawatan selepas penularan penyakit Acute Encephalitis Syndrome (AES) di daerah Muzaffarpur.

“Enam kanak-kanak telah dibenarkan keluar daripada hospital selepas dirawat,” kata Pegawai Jabatan kesihatan Bihar, Ashok Kumar Singh.

Beliau memberi amaran bahawa angka kematian akan meningkat lagi berikutan puluhan lagi mangsa sedang menjalani rawatan di hospital.

Semalam, penduduk di wilayah itu berkumpul di luar hospital di Muzaffarpur mendakwa pihak berkuasa tempatan bertindak terlalu perlahan serta tidak mengambil peduli sehingga menyebabkan ramai kanak-kanak meninggal dunia akibat virus otak yang berkemungkinan berpunca daripada buah laici.

Wabak penyakit itu berlaku setiap tahun ketika musim panas di Muzaffarpur dan daerah bersebelahan sejak 1995, biasanya dikaitkan dengan musim laici. Dikenali dalam kalangan penduduk tempatan sebagai Chamki Bukhar, penyakit itu meragut 150 nyawa sejak 2014.

Virus Ensefalitis ialah radang otak yang disebabkan salah satu daripada beberapa virus. Gejalanya, termasuk demam tinggi, muntah dan kes teruk seperti sawan, lumpuh serta koma. Difahamkan bayi dan warga tua mudah terdedah dengan virus itu.

Terdahulu, pada sidang media mengenai krisis itu, menteri kesihatan negeri memutuskan untuk bertanya soalan kepada wartawan mengenai skor perlawanan kriket antara India dan Pakistan, yang berlangsung di Manchester – yang mana topik itu tidak berkaitan dengan krisis.

Tindakan beliau itu mendapat kritikan termasuk daripada parti pembangkang.

“Menteri Kesihatan Bihar, Mangal Pandey lebih bimbang mengenai skor perlawanan kriket berbanding kematian kanak-kanak,” kritik Randeep Surjewala daripada parti pembangkang Kongres di akaun Twitternya. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close