Berita UtamaUtama

Tindakan peribadi Nie Ching atau inisiatif rasmi KPM?

Mengapa tidak menteri beragama Islam sahaja umum, soal Khairuddin

BANGI, 14 Syawal 1440H, Selasa – Tindakan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching meminta pandangan daripada bukan Islam untuk menambah baik silibus mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan amat mendukacitakan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, apa yang dilakukan Nie Ching seperti membuka ruang seluasnya kepada orang bukan Islam untuk campur tangan dalam urusan orang Islam.

“Saya menyokong usaha untuk menambah baik mata pelajaran Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan (Sekolah Rendah). 

“Namun, hantaran yang dibuat oleh Nie Ching di Facebook beliau yang kemudiannya dipadam, masih disiarkan di laman sesawang rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat mendukacitakan kerana beliau turut mahu membabitkan orang bukan Islam dalam perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Nie Ching mengalu-alukan semua pihak tanpa mengira kaum dan agama untuk memberi pandangan dan idea kepada Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI) di bawah Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) KPM pada 15 April 2019.

Pasukan itu akan mengkaji pelbagai aspek mengenai mata pelajaran Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan (Sekolah Rendah) bagi tujuan menambah baik mata pelajaran berkenaan.

Menyelar hasrat itu, Khairuddin mempersoalkan sama ada perkara berkenaan adalah usaha peribadi Nie Ching sahaja atau inisiatif rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Jika ia adalah inisiatif rasmi KPM mengapa tidak menteri yang beragama Islam sendiri mengumumkan mengenainya, memandangkan umum mengetahui bahawa perkara yang menyentuh kepentingan Islam dan umat Islam seperti ini adalah amat sensitif lebih-lebih lagi di era Malaysia Baharu,” katanya.

Pada masa sama, Khairuddin turut menuntut KPM menjelaskan sama ada penglibatan orang bukan Islam ini hanya dalam kajian tinjauan dalam talian sahaja atau turut dilantik menganggotai Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI).

“Kerajaan dituntut segera mendedahkan anggota PPKPI ini kepada orang ramai,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close