Pemohon kewarganegaraan Jerman didesak isytihar Israel wujud
Pendatang antisemitik tidak akan diberi kewarganegaraan
BERLIN, 23 Jamadilawal 1445H, Khamis – Pemohon kewarganegaraan Jerman di negeri yang terletak sebelah timur negara, Saxony-Anhalt kini mesti mengisytiharkan bahawa mereka mengiktiraf Israel dan menyokong hak negara haram itu untuk wujud.
Ketetapan baharu itu diterbitkan dalam dekri kepada daerah dan bandar bebas pada akhir November, kata Menteri Dalam Negeri Saxony-Anhalt, Tamara Zieschang.
Zieschang daripada Parti Kristian Demokrat (CDU) – yang memerintah – menulis kepada pejabat kewarganegaraan negeri itu, mengatakan bahawa pemohon perlu mengesahkan secara bertulis bahawa mereka mengiktiraf hak Israel untuk wujud dan mengecam sebarang usaha yang mengancam kewujudan negara Israel.
Dia menuntut pegawai Imigresen memberi perhatian khusus dan mencari bukti sikap antisemitik dalam kalangan pendatang yang memohon kewarganegaraan.
Walaupun terhad kepada negeri Saxony-Anhalt buat masa ini, keperluan baharu itu mencerminkan perbahasan yang lebih meluas di Jerman mengenai semakan kewarganegaraan yang dirancang negara itu dalam masa beberapa bulan lagi.
Soalan telah dibangkitkan oleh peguam sama ada keperluan untuk kewarganegaraan sedemikian akan sah.
Pada masa ini, pemohon hanya perlu mengesahkan komitmen mereka terhadap sistem Perlembagaan demokrasi bebas Jerman, bukan kewujudan negara lain.
Cadangan untuk melaksanakan keperluan sedemikian di peringkat Persekutuan telah dibangkitkan oleh ahli politik Jerman berikutan perang Israel ke atas Gaza yang menimbulkan polarisasi yang mendalam serta serangan 7 Oktober oleh Hamas.
Menteri Dalam Negeri Persekutuan, Nancy Faeser di peringkat Persekutuan mencadangkan bahawa hak Israel untuk wujud mungkin menjadi sebahagian daripada undang-undang baharu.
Undang-undang baharu itu – jika diluluskan di peringkat Persekutuan – ia berpotensi melihat rakyat Palestin diminta mengiktiraf negara yang menduduki mereka dan secara aktif enggan mengiktiraf Palestin. – Agensi