Berita UtamaDuniaIstimewaTimur TengahUtama

‘Satu pembunuhan terancang’

Bekas presiden Mesir dihalang daripada mendapat rawatan perubatan

KAHERAH, 14 Syawal 1440H, Selasa – Sebelum kematiannya semalam, bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi, berdepan pelbagai tuduhan – daripada perancangan membunuh penunjuk perasaan, melarikan diri dari penjara, menghina sistem kehakiman, sehinggalah kepada melakukan intipan buat Qatar.

Semalam, ketika diletakkan dalam bilik kaca kalis bunyi di dalam mahkamah, beliau sedang dibicarakan atas tuduhan bekerjasama dengan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), sebelum rebah dan dikejarkan ke hospital.

Sejurus kemudian, semua rakaman kamera di ruang mahkamah dirampas, demikian juga laporan perubatannya.

Stesen televisyen milik negara kemudian mengumumkan Morsi meninggal dunia disebabkan serangan jantung, sementara peguam negara Mesir berkata, tidak ada kesan kecederaan pada badannya – langkah awal untuk menghalang potensi berlaku rusuhan akibat kematian Morsi.

Tetapi, kematian Morsi disifatkan oleh Pengarah Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) bagi Timur Tengah dan Afrika Utara, Sarah Leah Whitson, sebagai ‘menyedihkan dan sudah dijangka’.

Peguam hak asasi manusia juga sudah lama memberi perhatian mengenai kesihatan Morsi, yang menderita akibat diabetes, penyakit hati dan buah pinggang, tetapi dinafikan hak mendapat rawatan perubatan – suatu tindakan biasa dilakukan rejim Abdel Fattah el-Sisi terhadap tahanan politik.

Tahun lalu, panel bebas ahli Parlimen United Kingdom, diketuai Crispin Blunt menerbitkan laporan bahawa Morsi dikurung selama 23 jam sehari, yang diklasifikasikan sebagai penderaan, dan keengganan pihak berkuasa rejim Mesir memberi rawatan perubatan kepadanya boleh menyebabkan kematian lebih awal.

Bersama HRW dan Amnesty International, Blunt menggesa satu siasatan bebas dijalankan terhadap kematian Morsi.

Morsi adalah presiden pertama yang dilantik secara demokrasi dalam sejarah Mesir. Dilahirkan pada 1951 di perkampungan El-Edwah di Delta Niledi utara Mesir.

Anak sulung daripada lima adik beradik lelaki, ibu bapanya hanyalah petani biasa. Morsi melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di Universiti Kaherah, dan kemudian menghabiskan ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Southern California, Amerika Syarikat (AS).

Beliau dipilih menjadi ahli Parlimen Mesir sebagai calon Bebas pada 2000, dan pada 2005 beliau berkhidmat sebagai pengubal undang-undang. Namun, setahun kemudian beliau dipenjara selama tujuh bulan kerana mengambil bahagian dalam demonstrasi yang memihak kepada reformasi kehakiman.

Pada 2010, beliau menjadi jurucakap Ikhwanul Muslimin sebelum dipilih sebagai calon bagi pilihan raya demokrasi pertama Mesir pada 2012, selepas pencalonan Khairat Al-Shater dibatalkan. Morsi dijuluki ‘presiden tidak sengaja’ dan menang tipis dengan 51 peratus undi.

Sebagai presiden, Morsi berusaha menamatkan penguasaan tentera dalam pentadbiran sejak berdekad lalu, dengan mengeluarkan dua pemimpin tentera terkenal – Menteri Pertahanan, Hussein Tantawi, pemimpin sementara negara selepas Hosni Mubarak meletak jawatan presiden, dan Ketua Staf Tentera Daraf, Lt Jeneral Sami Hafez Anan.

Sehari sebelum keputusan pilihan raya itu diumumkan, Majlis Tertinggi Angkatan Tentera Mesir mengumumkan perisytiharan Perlembagaan yang memberi mereka kuasa mengundi sebarang artikel dalam draf baharu Perlembagaan.

Morsi bagaimanapun, membatalkannya kemudian, dan memindahkan kuasa kepada beliau sebagai presiden.

Dalam ucapan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), Morsi berkata, isu paling penting melingkari komuniti antarabangsa adalah mengiktiraf hak rakyat Palestin, dan beliau menyifatkan kependudukan rejim Israel di wilayah Palestin sebagai memalukan.

Mengenai Gaza, beliau berkata:

“Kami tidak akan meninggalkan Gaza sendirian, dan akan berusaha untuk menghapuskan sekatan di wilayah terkepung itu.”

Ketika serangan dilakukan rejim Zionis ke atas Gaza pada 2012, Morsi menghantar Perdana Menteri, Hashim Qandil untuk melawat wilayah itu, memanggil pulang duta Mesir dari Tel Aviv, dan menyerahkan surat bantahan kepada duta Israel di Kaherah.

Beliau juga memanggil perhimpunan tergempar PBB, serta membuka pintu sempadan Rafah di sempadan Gaza-Mesir bagi membolehkan rakyat Palestin yang cedera mendapatkan rawatan perubatan.

Beliau menggelar kerajaan Bashar Al-Assad di Syria sebagai ‘rejim penindas yang kehilangan legitimasinya, dan berkata beliau tidak akan berehat sehingga krisis di negara itu berakhir.

Bagaimanapun, dalam tempoh menjadi presiden, Morsi dikritik kerana melantik pemimpin Ikhwanul Muslimin sebagai gabenor di beberapa wilayah, selain mengeluarkan dekri yang melindunginya daripada tindakan kehakiman.

Setahun kemudian, satu lagi gelombang tunjuk perasaan mendesak beliau meletak jawatan berlaku, dan el-Sisi – jeneral yang dilantiknya sebagai menteri pertahanan dan ketua tentera – menggulingkan beliau, dan kemudian menjadi presiden mulai 2013.

Sebaik sahaja Morsi dipenjara, penyokong Ikhwanul Muslimin mengadakan demonstrasi mendesak beliau dikembalikan jawatannya, tetapi polis dan pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan dalam lima kejadian berasingan, menyebabkan kira-kira 1,000 orang terbunuh.

Apa yang berlaku adalah tindakan keras dan kejam yang belum pernah terjadi sebelumnya terhadap Ikhwanul Muslimin, termasuk mengisytiharkan pergerakan itu sebagai pertubuhan pengganas, pemenjaraan ribuan penyokong dan ahlinya, serta perbicaraan besar-besaran yang membawa kepada hukuman penjara yang lama atau hukuman mati.

Mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman mati terhadap Morsi pada Jun 2015, yang kemudian ditarik balik, kemungkinan disebabkan mereka bimbang berlaku kekecohan jika hukuman dilaksanakan.

Sebagai ganti, mereka memenjarakan Morsi selama lebih separuh dekad dan menolak memberikan rawatan perubatan sehinggalah beliau meninggal dunia semalam.

Dalam ulasan mengenai kehilangan pemimpin mereka, Ikhwanul Muslimin berkata, ia adalah satu ‘pembunuhan sepenuhnya’, dan kerajaan rejim melakukannya ke atas Morsi.

Sambil menggesa tunjuk perasaan diadakan di luar kedutaan Mesir di seluruh dunia, Ikhwanul Muslimin juga menyifatkan kematian Morsi sebagai ‘pembunuhan terancang’ oleh rejim el-Sisi.

Selepas berita kematian Morsi diumumkan, Kementerian Dalam Negeri Mesir meletakkan pasukan keselamatan pada tahap berjaga-jaga sepenuhnya, menempatkan ribuan anggota polis dan melakukan sekatan jalan raya di seluruh negara, memperketatkan kawalan keselamatan di hotel dan mengumumkan langkah tegas menentang elemen keganasan.

Morsi berusia 67 tahun ketika menghembuskan nafas terakhir, meninggalkan seorang balu, lima anak lelaki dan tiga cucu yang hanya dibenar melawatnya tiga kali dalam tempoh enam tahun di dalam penjara.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Islam di kawasan Penjara Tora, Kaherah yang turut menempatkan kubur beberapa pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin, yang lain.

Pengebumiannya hanya dihadiri keluarga, dan ditutup kepada orang awam serta media. – Ismaweb/Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close