Berita UtamaDunia

Quebec lulus undang-undang larang pakai simbol keagamaan

Peraturan baharu cetuskan kemarahan awam dan pergerakan Islam

KANADA, 14 Syawal 1440H, Selasa – Pihak pentadbiran wilayah Quebec meluluskan undang-undang kontroversi melarang sesetengah pekerja di sektor awam daripada memakai simbol keagamaan ketika waktu kerja, sekali gus mencetuskan kemarahan awam dan pergerakan muslim.

Bill 21 – undang-undang yang telah lama digubal tetapi ditangguhkan kerana bantahan – akan membabitkan pekerja sektor awam, termasuk guru, hakim dan pegawai polis, tetapi mengecualikan penjawat awam kerajaan sekarang.

Kakitangan boleh dikenakan tindakan disiplin jika gagal mematuhi undang-undang itu.

Media tempatan melaporkan, bagi guru sekolah, mereka yang diambil bertugas selepas 28 Mac lalu tidak dibenar memakai simbol keagamaan.

Bagaimanapun, jika guru yang diambil bertugas sebelum 28 Mac yang akan dinaikkan pangkat, mereka juga tidak dibenar memakai simbol keagamaan.

Sejak beberapa tahun lalu, pihak pentadbiran wilayah Quebec cuba menyekat kakitangan awam daripada memakai simbol ketika kerja dalam usaha membentuk komuniti sekular.

Bagaimanapun, tidak pasti bagaimana undang-undang itu akan dikuatkuasakan.

“Adakah pegawai polis akan melakukan pemeriksaan ke atas orang ramai untuk melihat sama ada mereka mempunyai atau memakai simbol agama? Kami tidak tahu. Ianya tidak jelas,” kata anggota dewan perwakilan, Sol Zanetti.

Langkah diambil kerajaan Quebec mencetuskan konflik dengan pendapat Presiden Kanada, Justin Trudeau uang mempromosikan kebebasan agama.

Aktivis dan pergerakan muslim semalam, berjanji akan menentang undang-undang baharu itu, sambil menyifatkan ia akan mencetuskan kebimbangan politik.

Pengarah Eksekutif Majlis Kebangsaan Muslim Kanada (NCCM), Mustafa Farooq berkata, pihaknya akan memfailkan saman menentang undang-undang itu.

“Saya fikir Bill 21 adalah undang-undang yang akan mendatangkan kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki lagi kepada komuniti di Quebec.

“Ini akan mewujudkan warganegara kelas dua,” katanya sambil menegaskan bahawa NCCM akan memohon perintah mahkamah bagi menghalang undang-undang itu dikuatkuasakan.

Persatuan Muslim Kanada (MAC) turut mengecam undang-undang itu sambil berkata, wanita muslim yang memakai tudung akan menjadi sasaran, sekali gus boleh menyebabkan Islamophobia meningkat.

Larangan pemakaian hijab bagi sesiapa yang memberi atau menerima perkhidmatan awam di Quebec diluluskan pada 2017, tetapi penguatkuasaannya digantung oleh hakim Kanada.

Sebelum ini, kesatuan guru-guru berkata, mereka tidak akan menguatkuasakan undang-undang itu, sementara pakar dan peguam kerajaan mengambil bahagian dalam mahkamah menentang peraturan yang dianggap bertentangan dengan hak kebebasan beragama. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close