Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

Morsi dikebumi di Kaherah

Aktivis, rakyat Mesir luah kemarahan terhadap rejim el-Sisi

KAHERAH, 14 Syawal 1440H, Selasa – Bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi dikebumikan di tanah perkuburan Islam di sini di samping beberapa pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin, kata anak lelakinya, Ahmed Morsi.

Beliau berkata, pengebumian presiden pertama yang dilantik secara demokrasi dalam sejarah Mesir itu hanya dihadiri anggota keluarga terdekat, selepas pihak berkuasa rejim Abdel Fattah el-Sisi tidak membenarkan jenazah dikebumikan di kampung halamannya di wilayah Sharqiya di Delta Nile.

“Kami memandikan jenazahnya di hospital penjara Tora, menyembahyangkannya dan mengebumikannya di tanah perkuburan Ikhwanul Muslimin,” kata Ahmed menulis dalam Facebooknya, hari ini.

Salah seorang pemimpin terkenal Ikhwanul Muslimin itu yang berusia 67 tahun, meninggal dunia selepas diserang sakit jantung dan jatuh di dalam mahkamah ketika perbicaraan terhadapnya sedang dijalankan.

Allahyarham ditahan di penjara sejak digulingkan dalam satu rampasan kuasa diketuai el-Sisi – bekas jeneral tentera – pada 2013, selepas hampir setahun memerintah.

Kematiannya mencetuskan kemarahan meluas rakyat Mesir yang meluahkannya menerusi media sosial.

Aktivis, ahli politik dan rakyat Mesir memberi penghormatan kepada Morsi di dalam media sosial, selain mendesak komuniti antarabangsa bertindak menangani masalah pelanggaran hak asasi manusia di Mesir.

Ketika media sosial menjadi medan rakyat Mesir meluahkan perasaan mereka, media massa negara itu mengelak daripada memberi liputan kematian Morsi secara mendalam.

“Kami menyifatkan kematiannya sebagai syahid,” kata isteri Morsi, Naglaa, menerusi Twitter.

Keadaan kesihatan Morsi ketika di dalam tahanan menimbulkan kritikan kumpulan hak asasi manusia dan ahli politik luar negara.

Tiga ahli Parlimen British menerbitkan laporan amaran mengenai kesihatan Morsi yang semakin buruk, susulan layanan yang diberikan terhadapnya di dalam penjara. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close