Berita UtamaDuniaUtama

Krisis Iran-AS: Amerika tambah 1,000 anggota tentera di Teluk

Pentagon siar gambar terbaharu Tehran terbabit serang kapal tangki

AMERIKA SYARIKAT, 14 Syawal 1440H, Selasa – Setiausaha Pertahanan, Patrick M Shanahan mengumumkan Pentagon penambahan kira-kira 1,000 lagi anggota tentera ke Timur Tengah dalam apa yang beliau katakan sebagai ‘langkah defensif’.

Sambil menyatakan kebimbangan terhadap ancaman daripada Iran, beliau dalam satu kenyataan berkata, penambahan itu membabitkan tentera udara, laut dan darat.

“Saya telah membenarkan sejumlah 1,000 anggota tambahan udara, laut dan darat, untuk tujuan pertahanan daripada ancaman di Timur Tengah.

“Serangan Iran baru-baru ini adalah sesuatu yang sah dan benar-benar berlaku. Risikan sahih yang kami peroleh mengenai tingkah laku bermusuhan oleh tentera Iran dan proksi mereka, mengancam Amerika Syarikat (AS), dan kepentingan di seluruh rantau itu.

“Amerika tidak mahu wujud konflik dengan Iran, tetapi penambahan anggota itu bertujuan menjamin keselamatan dan kebajikan anggota tentera kami yang bertugas di rantau itu bagi melindungi kepentingan kami,” katanya.

Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas tentera AS menerbitkan gambar baharu yang didakwa menunjukkan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) adalah dalang serangan salah satu daripada dua kapan tangki berdekatan Selat Hormuz, baru-baru ini.

“Berdasarkan bukti video, dan kemahiran serta kepantasan menanggalkan periuk api tidak meletup yang dilekatkan pada badan kapal, adalah disahkan bahawa Iran bertanggungjawab terhadap serangan itu,” kata kenyataan Pentagon.

Kebimbangan konfontasi antara Iran dan AS meningkat sejak Khamis lalu, apabila dua kapal tangki minyak diserang, mencetuskan kecaman daripada AS dan sekutunya di rantau itu – Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pengarang GrayzoneProject.com, Max Blumenthal ketika mengulas mengenai penambahan anggota tentera AS itu berkata, Washington dilihat bersedia menghangatkan lagi krisis dengan Iran.

“AS sedang meningkatkan strategi memberi tekanan maksimum dalam konflik dua tahun dengan Iran. Pada masa ini, Iran berasa mereka berada dalam keadaan sulit, dan Tehran mengambil langkah sendiri untuk bertindak balas.

“Dan, saya rasa kita berada dalam situasi amat berbahaya. Konflik itu boleh pecah, di mana elemen ekstrem yang dikehendaki pentadbiran Donald Trump boleh berlaku.

“Tidak ada cara untuk menafikan bahawa pentadbiran Trump telah memulakan strategi perubahan rejim yang ditolak Iran,” katanya.

Semalam, Iran berkata, mereka akan melanggar persetujuan antarabangsa mengenai had simpanan uranium yang diperkaya dalam tempoh beberapa hari lagi.

Jurucakap Pertubuhan Tenaga Atom Iran (AEOI), behrouz Kamalvandi berkata, Iran akan mencapai had dibenarkan iaitu 300 kilogram uranium diperkaya, berdasarkan perjanjian dengan kuasa dunia.

“Kami akan meningkatkan pengeluaran uranium diperkaya secara drastik. Apabila melepasi had 300 kilogram, kadar dan kepantasan pengeluaran uranium diperkaya pada kadar rendah juga akan dipertingkatkan,” katanya.

Ketegangan antara Tehran dan Washington mula merebak sejak AS menarik diri daripada perjanjian nuklear Mei lalu, dengan AS memperkukuhkan kehadiran tentera mereka di Timur Tengah, serta mengisytihar IRGC sebagai pertubuhan pengganas. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close