Berita UtamaUtama

Kabinet pertimbang pinjaman RM100 juta kepada SRC: Saksi

Memorandum menteri kewangan diedar sebelum mesyuarat Kabinet

KUALA LUMPUR, 14 Syawal 1440H, Selasa – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu jemaah menteri mempertimbangkan pinjaman jangka pendek sebanyak RM100 juta kepada SRC International Sdn Bhd bagi membantu pembiayaan bayaran lewat syarikat itu kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)(KWAP), pada 2015.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Bahagian Kabinet Perlembagaan dan Perhubungan, Tan Sri Mazidah Abdul Majid, 70, berkata dalam Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) bertarikh 6 November 2015, satu memorandum yang diterima daripada Menteri Kewangan berkaitan “Pinjaman Kerajaan Persekutuan Secara Short Term Loan Sehingga RM100 juta kepada SRC International Sdn Bhd” telah diedarkan sebelum mesyuarat bermula.

Mesyuarat itu telah dipengerusikan oleh Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan ketika itu, selain kehadiran 29 menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Merujuk kepada minit mesyuarat itu, Mazidah, saksi pendakwaan ke-40 berkata, berdasarkan memorandum yang diterima, tujuan pinjaman jangka pendek untuk tempoh satu bulan itu adalah bagi membolehkan SRC membayar keuntungan dan pampasan bayaran lewat ke atas pembiayaan Bai’ Al-Inah berjumlah RM4 bilion daripada KWAP.

Beliau berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan pada hari ke-27 perbicaraan kes bekas perdana menteri itu.

“Antara justifikasi lain yang dinyatakan dalam memorandum tersebut adalah bagi mengelakkan KWAP mengisytiharkan penamatan pembiayaan pinjaman kepada SRC dan kerajaan sebagai penjamin perlu menanggung bayaran keseluruhan yang melebihi RM4 bilion.

“Situasi ini akan memberi kesan kepada kedudukan fiskal dan perancangan bajet tahunan kerajaan. Memorandum itu turut menyatakan, pinjaman itu akan mengurangkan impak kewangan KWAP sekiranya peruntukan hutang ragu dibuat dalam penyata kewangan badan itu bagi tahun berakhir 2015,” katanya.

Bagaimanapun, Mazidah berkata, anggota Kabinet tidak pernah membuat sebarang perbincangan mengenai permohonan pinjaman anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) itu daripada kerajaan.

“Sekiranya wujud perbincangan, ianya akan dicatit dalam minit mesyuarat yang menunjukkan bahawa jemaah menteri telah mengambil maklum mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, beberapa mesyuarat Kabinet yang lain juga diadakan berhubung isu-isu mengenai SRC tetapi Najib tidak pernah mengisytiharkan mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.

Najib, 66, adalah penasihat emeritus SRC.

Anggota Parlimen Pekan itu didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close