Berita UtamaPendapat

Lima cadangan ‘bernas’ berkaitan undang-undang Syariah

Siapa perlu dipersalahkan dalam isu Mahkamah Syariah?

APABILA jenayah liwat yang dilakukan oleh mana-mana orang Islam tidak lagi boleh didakwa di Mahkamah Syariah, maka munasabahlah kita bagi beberapa cadangan di sini:

Pertama, Dewan Undangan Negeri perlu bersidang untuk memansuhkan semua peruntukan di dalam Enakmen Jenayah Syariah yang perbuatan jenayah dan hukumannya sudah wujud di dalam Kanun Keseksaan.

Kedua, pejabat pendakwa jenayah Syariah negeri sudah boleh ditutup. Ini kerana tidak ada lagi keperluan untuk membuat siasatan, tangkapan dan pendakwaan terhadap mana-mana perbuatan jenayah Syariah, memandangkan semua hukuman berkenaan tidak dapat dilaksanakan atau dikuatkuasakan, khususnya perbuatan liwat atau di luar tabii.

Banyak masa, tenaga dan wang ringgit dapat dijimatkan oleh kerajaan negeri.

Ketiga, semua fail berkaitan dengan perbuatan jenayah Syariah yang termasuk dalam Kanun Keseksaan sekarang boleh dihantar ke pejabat Peguam Negara atau pejabat Pendakwa Raya negeri untuk tindakan lanjut.

Pihak kakitangan pejabat pendakwa Syariah negeri boleh diberi latihan atau kursus baru untuk menangani kes-kes tuntutan perceraian dan harta pusaka yang begitu banyak tertunggak sekarang.

Sekiranya praktikal, tamatkan saja perkhidmatan mereka. Kalau tidak pun, bagi mereka bersara awal.

Keempat, (dan ini adalah satu berita paling gembira), para penggerak dan pengamal liwat dan hubungan luar tabii, pengamal ajaran sesat (termasuk Syiah), pemabuk, penzina, penjudi dan seumpamanya tidak perlu merasa takut atau teragak-agak untuk melakukan kemungkaran dan maksiat tersebut secara terang-terangan.

Ini kerana semua jenis intipan dan operasi serbuan akan dihentikan. Anda semua tidak akan didakwa langsung.

Kelima, umat Islam perlu lupakan sahaja hasrat untuk melihat institusi Mahkamah Syariah diperkasakan. Ini kerana wakil rakyat beragama Islam yang kini menjadi sebahagian dari pihak pemerintah tidak lagi berminat untuk meneruskan perjuangan ini. Mereka tentu mempunyai lain-lain prioriti politik yang perlu diutamakan.

Mereka tidak boleh dipersalahkan. Anda semualah yang menghantar mereka ke Parlimen, bukan?

Sudah tentu mereka semua wakil rakyat Muslim yang berwibawa.

Percayalah kepada mereka!

Terakhir, masyarakat dan umat Islam di negara ini harus bersyukur oleh kerana fikiran anda semua tidak lagi akan disibukkan dengan isu-isu kedaulatan Syariah, kehebatan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan keunggulan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Jangan khuatir sekiranya selepas ini, lebih ramai lagi saudara-saudara Islam kita mencabar semua peruntukan kesalahan jenayah Syariah di Mahkamah Persekutuan atas alasan melangkaui bidang kuasa dan bercanggah dengan Perlembagaan. Biarlah mereka berbuat demikian.

Siapa kita untuk menghalang kebebasan mereka?

Siapa kita untuk menentukan apa yang terbaik untuk mereka?

Siapa kita untuk mengawal dan memantau tingkah laku dan menjadi polis kepada akhlak mereka?

Kita masih boleh hidup aman damai, pergi mengerjakan Haji dan Umrah serta masih boleh bergembira di hari raya.

Bukankah ini kebahagiaan hakiki namanya?

Di saat sebahagian manusia merayakan “kemenangan” ini dengan sorakan-sorakan kegembiraan setelah agenda mereka “diangkat” oleh keadilan tertinggi negara, adalah lebih afdhal bagi umat Islam untuk sama-sama melompat terkinja-kinja meraikan kemenangan yang sangat bermakna ini.

Sharing is caring.

Berkongsi rahmah gitu!

Kita semua tidak perlu sibukkan diri dengan urusan-urusan yang memeningkan kepala. Jangan fokus kepada siapa yang memerintah negara, apa yang akan jadi kepada agama Islam anda atau nasib dan masa depan anak cucu anda.

Allah kan ada. Allah kan sayang kita semua.

Dan Allah tentu akan memelihara dan memenangkan agamaNya.

Kita tidak perlu buat apa-apa pun untuk menolong agama Allah.

Allahu Akbar! (Dibaca 3 Kali).

Mohd Luttfi Abd Khalid
Pengerusi Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (iPeguam)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button