Berita UtamaUtama

Geng Gemuk seleweng bekalan LPG diserbu KPDNHEP

Sindiket upah tonto untuk mengawasi premis ketika pekerja sedang menjalankan pemindahan LPG daripada tong subsidi ke tong industri

NIBONG TEBAL, 14 Syawal 1440H, Selasa – Tidak serik malah semakin berani, begitulah kedegilan dan tindakan sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) dikenali ‘Geng Gemuk’ yang beroperasi dalam sebuah premis di kawasan terpencil di Kampung Teluk, di sini.

Sindiket yang dipercayai menjalankan kegiatan tersebut sejak tiga tahun lepas itu telah beberapa kali diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang dan terbaharu, premis itu diserbu jam 6 pagi tadi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Seberang Perai Tengah (SPT) Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, sindiket itu juga mengupah tonto untuk mengawasi premis berkenaan, ketika pekerja sedang menjalankan pemindahan LPG daripada tong subsidi ke tong industri.

“Dalam serbuan pagi ini, beberapa anggota sindiket yang sedang memindahkan LPG daripada tong subsidi ke tong industri berjaya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguatkuasaan kami. Mereka mendapat maklumat berikutan kawasan premis tersebut dipantau tonto,” katanya kepada pemberita di sini.

Katanya dalam serbuan itu, pihaknya merampas 98 tong LPG 14 kilogram (kg) bersubsidi dan 28 tong industri LPG 50kg serta 24 unit hos yang kesemuanya dianggarkan bernilai kira-kira RM12,000.

Ahmad Ahrazzuddin berkata, selain serbuan pagi ini, pihaknya telah beberapa kali menyerbu premis itu termasuk di beberapa lokasi lain sekitar Nibong Tebal yang didalangi geng berkenaan sejak awal tahun ini, namun mereka menjalankan kegiatan tersebut secara berpindah-randah bagi mengelak daripada dikesan.

Katanya, sindiket itu juga dipercayai terdesak berpindah dan meneruskan kegiatan berkenaan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang sudah membuat bayaran.

Beliau berkata, mereka sanggup mengambil risiko dengan menjadikan beberapa lokasi yang sama sebagai tempat memindahkan gas bersubsidi demi mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap bulan.

“Kami sedang mengesan anggota sindiket itu untuk siasatan lanjut, identiti mereka telah dikenal pasti dan kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close