Berita UtamaDuniaUtama

Desak siasatan bebas terhadap punca kematian Morsi

Umat Islam diajak buat solat jenazah ghaib untuk bekas Presiden Mesir

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 14 Syawal 1440H, Selasa – Pihak berkuasa Mesir dan agensi antarabangsa perlu melakukan siasatan bebas dan menyeluruh berhubung punca kematian bekas Presiden Mesir yang digulingkan, Mohamed Morsi, ketika dalam tahanan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan hari ini berkata, siasatan itu perlu termasuk penjagaan terhadap pemimpin Ikhwanul Muslimin itu ketika di bawah pengasingan bersendirian selama ini.

Menurut laporan media tempatan dan antarabangsa, Morsi rebah selepas sesi perbicaraan di mahkamah dan meninggal dunia sejurus selepas itu.

Beliau dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia. 

Bagaimanapun, Human Right Watch (HRW) menuduh kerajaan Mesir pimpinan Presiden Abdel Fattah al-Sisi sebagai punca kepada kematian tragis Morsi.

HRW berkata, Morsi mempunyai masalah kesihatan termasuk kencing manis serta penyakit hati dan buah pinggang namun dinafikan hak untuk menerima rawatan perubatan yang diperlukan.

Sementara itu, turut berdukacita di atas pemergian Morsi, Abdul Hadi berkata, PAS menzahirkan rasa simpati dan takziah kepada ahli keluarga serta saudara seperjuangan Ikhwanul Muslimin dan seluruh rakyat Mesir.

“Sesungguhnya dunia Islam kehilangan seorang pejuang yang akan dikenang di atas keberanian dan kesabaran menghadapi tekanan demi memperjuangkan keadilan untuk Mesir dan rakyatnya, serta perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin. 

“Kami turut menyeru seluruh umat Islam di Malaysia untuk mendirikan solat jenazah ghaib, dan semoga roh Dr Mohamed Morsi ditempatkan di kalangan para syuhada’ dan hambaNya yang soleh,” katanya.

Morsi adalah presiden pertama Mesir yang dipilih secara demokrasi dan salah seorang pemimpin Ikhwanul Muslimin yang diharamkan. Beliau digulingkan rejim Abdel Fatah al-Sisi pada 2013.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close