Berita UtamaUtama

Belia muak senario politik kotor

MBM tolak budaya politik memalukan Malaysia di mata dunia

BANGI, 14 Syawal 1440H, Selasa – Majlis Belia Malaysia (MBM) menyifatkan penyebaran video seks yang dikaitkan dengan menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) sama ada sahih atau tidak adalah perbuatan menjijikkan.

Presidennya, Jufitri Joha berkata, insiden sebegini akan terus menjauhkan belia daripada politik bersih, matang dan berhemah.

Senario itu juga, katanya, menggagalkan usaha MBM dan pelbagai pihak membantu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meningkatkan skor kesejahteraan sosialisasi politik dalam kalangan belia seperti yang dapat dilihat dalam Domain Sosialiasi Indeks Belia Malaysia (IBM) yang skornya sudah sedia rendah. 

“Persepsi bahawa politik itu kotor akan terus kekal pada sebahagian minda generasi muda. 

“Tambah memburukkan lagi keadaan apabila MBM melihat pengakuan bersahaja tanpa rasa bersalah dan segan silu mengenai perlakuan songsang dalam video tersebut amat menakutkan dan menjelikkan di saat kita berusaha membina sebuah masyarakat maju bertamadun dan matang berpaksikan menjelang 2020,” katanya.

Memandangkan tuduhan di dalam video ini terkait dengan individu berprofil tinggi, Jufitri menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan secara adil, telus dan bebas.

Ia bagi menegakkan keadilan sekali gus menghukum pihak-pihak yang didapati bersalah sama ada dalam perbuatan songsang berkenaan mahupun pihak yang bertanggungjawab menyebarkan video itu, tegas Jufitri.

“Belia dan rakyat wajar memberikan kepercayaan kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan bagi menegakkan keadilan sekali gus mengelakkan membuat penghakiman sendiri secara terbuka terhadap pelaku dalam video kerana ia melibatkan maruah individu dan keluarga.

“MBM menyeru belia dan rakyat Malaysia agar menolak sekeras-kerasnya budaya politik kotor yang memalukan Malaysia di mata dunia dan tidak bertamadun ini sebaliknya fokus untuk menghasilkan idea-idea futuristik membangun negara,” katanya.

Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata bahawa beliau yakin penularan video seks kontroversi yang dikaitkan dengannya dilakukan oleh pihak dalaman parti.

Malah, beliau juga yakin penularan video kontroversi itu adalah agenda politik pihak tertentu yang bertujuan mahu menyekat kemaraan dan prestasinya dalam kerajaan serta bidang politik.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close