Berita UtamaDuniaPalestinUtama

Tahanan Palestin mogok lapar dihalang solat berjemaah

Undang-undang Israel mengarut, tahanan dilayan seperti haiwan

RAMALLAH, 13 Syawal 1440H, Isnin – Sekurang-kurangnya 50 tahanan Palestin melancarkan mogok lapar sebagai bantahan terhadap undang-undang ketat di dalam penjara Israel, di bandar selatan Ashkelon.

Pertubuhan Tahanan Warga Palestin (PPS) berkata, penguatkuasaan undang-undang zalim dilaksanakan mengikut arahan pengarah penjara Yahudi, Yaakov Shalom.

“Yaakov melaksanakan undang-undang mengarut, bertindak mengancam dan mengugut tahanan, mereka dilayan seperti haiwan” katanya.

Pada masa sama, tahanan warga Palestin yang mogok menuntut rejim pengganas Israel menarik semula undang-undang menghukum tanpa sebab yang jelas, yang dilaksana sejak Ramadan lalu.

Difahamkan, rejim Zionis menganiaya tahanan dengan menghalang dan mengharamkan mereka daripada beribadat, termasuk solat berjemaah.

Selain itu, tahanan Palestin juga dilarang menjalani rawatan kesihatan walaupun diserang pelbagai penyakit baru-baru ini.

Lebih 7,000 penduduk Palestin ditahan di penjara Israel dan ratusan daripada mereka ditangkap dan dikurung tanpa perbicaraan atau pertuduhan.

Ada di antara warga Palestin dijadikan tahanan pentadbiran sehingga belasan tahun.

Bulan lalu, satu kajian mendedahkan bahawa rejim Zionis telah menahan 16,500 kanak-kanak warga Palestin sejak Intifada Kedua (kebangkitan) pada akhir tahun 2000.

Tahanan warga Palestin secara berkala melancarkan mogok lapar sebagai protes ekoran dasar penahanan pentadbiran dan keadaan yang teruk di penjara Israel. -Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close