Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

Saya guna poket sebagai tandas

Anak perempuan pemimpin nombor dua Ikhwanul Muslimin dikurung dalam bilik penjara seluas dua meter persegi dan tiada tingkap

KAHERAH, 13 Syawal 1440H, Isnin – Anak perempuan pemimpin nombor dua Ikhwanul Muslimin Mesir, Khairat Al-Shater, semalam, memberitahu mahkamah bahawa beliau terpaksa menggunakan poketnya sebagai tandas, dan meminta pihak berkuasa memberinya kebenaran penuh menggunakan kemudahan itu di penjara.

Aisha Al-Shater ditangkap bersama suaminya, bekas jurucakap Penyelaras Hak dan Kebebasan Mesir (CRRF), Mohamed Abu Horarira, pada November tahun lalu selepas polis rejim Mesir menyerbu dan menggeledah kediamannya pada waktu malam.

Beliau ‘hilang’ selama 28 hari sebelum muncul di Penjara Wanita Qanateer, di utara ibu negara Mesir ini.

Pada malam itu, 19 aktivis hak asasi turut ditangkap, termasuk peguam berusia 60 tahun, Hoda Abdelmonem.

Sejak itu, Aisha dan suaminya dituduh menganggotai dan membiayai kumpulan pengganas. Rejim Mesir pimpinan Presiden Abdel Fattah el-Sisi mengisytiharkan Ikhwanul Muslimin sebagai kumpulan pengganas pada 2013, dan menangkap ribuan ahlinya.

El-Sisi, bekas pegawai tentera berpangkat jeneral, merampas kuasa daripada presiden Mesir yang dipilih secara demokrasi, Mohamed Morsi, pada Julai 2013.

Pada akhir Mac lalu, penahanan Aisha disambung selama 45 hari bergantung kepada siasatan.

Bilik penjara di mana Aisha dikurung hanya seluas dua meter persegi dan tiada tingkap. Beliau tidak diberi kebenaran untuk ke bilik mandi, tandas dan tidak dibekalkan dengan produk pembersihan.

Pada Mac lalu, kumpulan hak asasi melancarkan Inisiatif Mesir untuk Hak-Hak Peribadi – kempen yang memberi tekanan kepada pihak berkuasa penjara untuk menyediakan kemudahan air bersih dan tandas kepada wanita bagi mengelak wabak penyakit.

Bagaimanapun, pihak berkuasa penjara membenarkan wanita membeli produk berkenaan di kantin penjara atau menerimanya daripada pelawat. Tetapi, sesetengahnya tidak mempunyai wang untuk berbuat demikian, sementara yang lain dihalang daripada lawatan keluarga.

Aisha juga dihalang daripada menerima pelawat, satu larangan yang bertentangan dengan undang-undang Mesir. Beliau tidak pernah melihat tiga anaknya sejak lapan bulan lalu.

Bapanya pula ditahan sejak Julai 2013, sejurus Morsi digulingkan. Pemerhati hak asasi manusia percaya Aisha ditangkap disebabkan pembabitan Khairat dalam gerakan Ikhwanul Muslimin.

Menangkap anggota keluarga penentang kerajaan, bukan perkara baharu bagi rejim Mesir.

Tahun lalu, Ola Al-Qaradawi, anak kepada ulama terkenal dan penentang kuat rejim el-Sisi, Yusuf Al-Qaradawi, turut ditahan bersama suaminya, Hosam Khalaf. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close