Berita Utama

Pendakwaan tarik balik surat mohon mahkamah utamakan kes Zahid

Zahid berdepan 47 pertuduhan babit puluhan juta ringgit milik dana Yayasan Akalbudi

KUALA LUMPUR, 2 Safar 1444H, Selasa – Pihak pendakwaan dalam kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik surat yang dihantar kepada hakim perbicaraan Datuk Collin Lawrence Sequerah supaya memberi keutamaan kepada perbicaraan kes rasuah Presiden UMNO itu berbanding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob yang mengemukakan permohonan itu memberitahu mahkamah bahawa perkara tersebut kini sudah selesai dengan mengambil kira penarikan balik surat berkenaan.

“Oleh itu tiada permohonan sedemikian di hadapan mahkamah ini. Kita teruskan dengan perbicaraan ini,” katanya sebelum bermulanya prosiding hari ini.

Pada ketika ini, Hakim Sequerah berkata tiada sesiapa yang boleh menentukan kes apa yang harus diberi keutamaan di mahkamah.

Peguam Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, kemudian bangun dan berkata surat itu boleh ditafsirkan sebagai memberi tekanan kepada mahkamah.

“Kami berharap perbicaraan ini akan dijalankan mengikut kedaulatan undang-undang,” tegasnya.

Hakim Sequerah juga merupakan hakim perbicaraan dalam kes 1MDB Najib yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Surat kepada setiausaha Hakim Sequerah dihantar petang semalam yang Abdul Malik menyatakan bahawa beliau diarah memberi keutamaan kepada kes Ahmad Zahid yang kini di peringkat pembelaan dan salinan surat itu turut diserah kepada pasukan pembelaan Ahmad Zahid.

Sejak petang semalam, surat itu tular di media sosial malah terdapat pihak mempertikaikan ketulenannya.

Perbicaraan kemudian bersambung apabila Ahmad Zahid diperiksa semula oleh peguamnya Hamidi Mohd Noh.

Ahmad Zahid membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik dana Yayasan Akalbudi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button