Dunia

Arab Saudi umum pelaburan AS$10 bilion di persidangan China-Arab

Hubungan diplomatik makin kukuh antara Beijing, negara Timur Tengah

RIYADH, 23 Zulkaedah 1444H, Isnin – Arab Saudi mengumumkan perjanjian pelaburan antara China dan dunia Arab melibatkan berbilion dolar, pada hari pertama persidangan perniagaan China-Arab di Riyadh.

Pertemuan itu diadakan susulan hubungan diplomatik yang semakin kukuh antara Beijing dan negara-negara Timur Tengah, termasuk hubungan rapat yang diperantarai China baru-baru ini antara kuasa besar Iran dan Arab Saudi yang mengubah hubungan serantau.

Dalam tempoh dua hari, persidangan tersebut mengumpulkan lebih 3,500 pegawai kerajaan dan perniagaan dari China dan negara Arab, kata kementerian pelaburan Arab Saudi dalam satu kenyataan.

Acara itu menutup tirai hari pertamanya dengan menandatangani perjanjian pelaburan sebanyak AS$10 bilion (RM46 bilion), kata kenyataan itu, yang sebahagian besarnya adalah untuk projek di Arab Saudi oleh firma Saudi dan entiti kerajaan.

Angka ini termasuk memorandum persefahaman bernilai $5.6 bilion antara Kementerian Pelaburan Saudi dengan pengeluar kereta elektrik dan pandu sendiri dari China, Human Horizons.

Lebih separuh daripada jumlah keseluruhan adalah dalam memorandum persefahaman, serta perjanjian kerjasama berasingan dan perjanjian rangka kerja yang melibatkan syarikat lain, menurut kenyataan itu.

Ia memperincikan perjanjian dalam pelbagai bidang, termasuk teknologi, pertanian, tenaga boleh diperbaharui, hartanah, sumber asli dan pelancongan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button