Amerika SyarikatBerita UtamaDuniaIstimewaUtama

Nahas 737 MAX: Boeing akui kesilapan sistem amaran

Petunjuk keselamatan kokpit pesawat 737 MAX tidak berfungsi

PARIS, 13 Ramadan 1440H, Isnin – Boeing Company mengakui syarikat itu melakukan ‘kesilapan’ dalam mengendalikan sistem amaran kokpit yang bermasalah pada pesawat jenis 737 MAX sebelum dua nahas membabitkan jet paling larisnya, yang meragut 346 nyawa.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Boeing, Dennis Muilenburg ketika mengakui Boeing gagal berkomunikasi dengan pengawal selia dan pelanggan, bagaimanapun mempertahankan pendekatan kejuruteraan dan reka bentuk perisian.

Beliau mengakui bahawa syarikat itu melakukan kesilapan, gagal menjelaskan kecacatan lampu amaran kokpit 737 MAX kepada pengawal selia dan pelanggan.

“Kecacatan dan kegagalan itu menjadi sebahagian daripada ulasan pengawal selia seluruh dunia,” katanya.

Muilenburg yang berdepan kecaman mengenai reka bentuk MAX dan cara Boeing mengendalikan krisis itu menjangkakan pesawat berkenaan akan kembali beroperasi tahun ini.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat menyalahkan Boeing kerana tidak memberitahu pengawal selia selama lebih setahun bahawa petunjuk keselamatan di kokpit 737 MAX tidak berfungsi.

Juruterbang turut mengecam syarikat itu kerana tidak memaklumkan kepada mereka mengenai perisian baharu yang membabitkan dua pesawat terhempas di Indonesia dan Ethiopia mengorbankan 346 penumpang dan anak kapal.

Bagaimanapun, Boeing menegaskan mereka mematuhi peraturan ketika mereka cipta 737 MAX.

Ditanya bagaimana prosedur itu gagal mengesan kelemahan yang jelas dalam perisian kawalan MCAS dan rekaan sensor, Muilenburg berkata:

“Adalah jelas kami boleh melakukan penambahbaikan dan kami memahaminya dan kami akan melakukan penambahbaikan.”

MCAS (Maneuvering Characteristics Augmentation System) adalah peraturan kawalan penerbangan yang dibangunkan untuk 737 MAX bagi memberikan kualiti pengendalian yang sama dengan Boeing 737 NG.

“Apabila saya memberi ulasan terhadap reka bentuk MCAS sebelum ini, dan bagaimana kami mengikut prosesnya, kami berfikir dan melakukan banyak analisis. Ini tidak bermakna ia tidak boleh ditambah baik,” katanya.

Bercakap pada Pameran Udara Paris, Muilenburg berkata, Boeing menyertai pameran itu dengan rasa rendah diri dan memberi tumpuan untuk membina semula kepercayaan.

Boeing dijangka membuat pengumuman mengenai jumlah pesanan pesawat berbadan besarnya pada pameran itu.

Beliau juga mengulangi bahawa, garis masa operasi pesawat baharu Boeing 777X yang dijangka diserahkan kepada syarikat penerbangan tahun depan, akan dipenuhi.

Sehingga kini, semua Boeing 737 MAX tidak dibenar terbang sehingga masalah yang menyebabkan dua pesawat jenis itu terhempas diatasi. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close