Berita UtamaUtama

Kerana masalah rumah tangga, suami tikam isteri hingga mati

Suspek turut bakar rumah kongsi pekerja sebuah kilang di Teluk Likas

KOTA KINABALU, 13 Syawal 1440H, Isnin – Seorang lelaki bertindak menikam isterinya hingga mati, sebelum membakar rumah kongsi pekerja sebuah kilang di Jalan Teluk Likas, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Ayang Hamjani, 62, disahkan meninggal dunia di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas, akibat kesan tikaman pada badannya.

Dalam kejadian itu, jiran yang juga rakan sekerja mangsa tersedar apabila terdengar bunyi pertengkaran antara mangsa dan suaminya, pada jam 2 pagi.

Difahamkan, pergaduhan itu berpunca daripada masalah rumah tangga.

Ketika kejadian, suspek menutup pintu selepas beberapa kali mengancam dan menjerit supaya orang lain tidak mencampuri urusan mereka.

Anak lelaki mangsa yang tiba di tempat kejadian selepas dihubungi jiran mendapati rumah berasap, lantas merempuh masuk menyelamatkan ibunya.

Mangsa yang parah akibat ditikam suaminya kemudian dikejarkan ke HWKKS untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu, pasukan polis yang tiba setelah dihubungi orang awam cuba menenangkan dan mengarahkan suspek agar menyerah diri, namun suspek bertindak lebih ganas dengan membaling objek keras ke arah anggota polis.

Suspek juga sekali lagi membakar rumah itu, namun berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba.

Walaupun api telah dipadamkan, suspek masih enggan menyerah diri dengan bersembunyi di bawah kolong rumah kongsi terbabit.

Setengah jam kemudian, pihak polis berjaya memberkas suspek selepas gagal melarikan diri melalui tingkap rumah di bahagian dapur.

Suspek dibawa ke Hospital Queen ELizabeth 2 (HQE 2) untuk rawatan akibat luka di leher terkena zink.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi berkata, mangsa yang menerima rawatan di hospital disahkan meninggal dunia akibat kesan tikaman.

“Suspek berusia 60-an yang juga suami mangsa berjaya diberkas pasukan polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian itu,” katanya kepada media tempatan, ketika dihubungi hari ini.

Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close