Berita UtamaDuniaPalestinTimur TengahUtama

Bukit Golan jadi Bukit Trump

Rejim pengganas Israel rancang bina penempatan baharu

TEL AVIV, 13 Syawal 1440H, Isnin – Rejim pengganas Israel mengumumkan akan membina penempatan baharu di atas Bukit Golan yang kini diberi nama baharu ‘Bukit Trump’, sempena nama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Semalam, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu meletakkan batu asas ‘Bukit Trump’ yang juga dikenali ‘Ramat Trump’ di tapak pembinaan penempatan baharu, sebagai menghargai langkah presiden negara pembuli itu mengiktiraf Bukit Golan sebagai sebahagian wilayah kedaulatan Israel.

“Kami akan membangunkan komuniti baharu, sesuatu yang tidak berlaku sebelum ini, dan sebagai menghargai Presiden Donald Trump,” katanya.

Walaupun perhatian diberikan kepada pengumuman itu, buat sementara kerajaan rejim pengganas Israel tidak boleh meluluskan pembinaan penempatan baharu itu, lapor Haaretz.

Laporan akhbar Israel itu menyatakan kerajaan hanya boleh memulakan kerja-kerja pentadbiran ke atas projek berkenaan.

Penempatan baharu itu adalah sebahagian daripada Majlis Wilayah Golan dan akan dibina di kawasan komuniti Kela Alon, lapor Haaretz.

Pada 25 Mac lalu Trump menandatangani pengiktirafan Bukit Golan yang ditawan daripada Syria pada 1967, sebagai wilayah kedaulatan Israel.

Presiden negara pembuli itu mengisytiharkan dataran tinggi bersempadan dengan Lubnan dan Jordan itu adalah ‘penting dari segi strategik kepada Israel demi kestabilan serantau’.

Israel menduduki dan mengambil sepenuhnya dataran tinggi milik Syria, bersempadan dengan Lubnan dan Jordan, pada 1981, dalam langkah yang tidak diiktiraf antarabangsa.

Bukit Golan adalah dataran tinggi meliputi 1,200 kilometer persegi, terletak kira-kira 60 kilometer di barat daya ibu negara Syria, Damsyik.

Israel menawan sebahagian besar daripada Bukit Golan daripada Syria dalam Perang Timur Tengah pada 1967, dan menggagalkan tindakan Syria untuk mengambilnya semula pada 1973.

Kedua-dua negara itu secara teknikalnya masih berperang, dan pemantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dihantar ke wilayah itu untuk mengawasi 70 kilometer zon bebas tentera.

Pada 1981, Parlimen Israel meluluskan undang-undang yang mengenakan peraturan, penguasaan dan pentadbiran ke atas Bukit Golan, tetapi negara lain, termasuk AS tidak mengiktirafnya.

Secara geografinya, Bukit Golan disempadani Sungai Jordan dan Laut Galilee di barat; Jabal Al-Shaykh di utara; Wadi Al-Ruqqad (timur); dan Sungai Yarmuk (selatan).

Tahun lalu, Russia menolak tuntutan rejim Israel ke atas Bukit Golan, yang dianggapnya masih menjadi milik Syria.

Status Bukit Golan itu ditetapkan menerusi resolusi Majlis Keselamatan PBB, dan sebarang perubahan akan melanggar resolusi berkenaan. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close